BSN akan terus melahirkan lebih ramai jutawan melalui kempen SSP 2021



Sebaran :


Bank Simpanan Nasional (BSN), yang memberikan ganjaran bernilai RM23 juta kepada pemenang cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) pada 2020, akan menawarkan 19,426 hadiah bernilai RM31.44 juta pada tahun ini untuk terus menggalakkan orang ramai menyimpan.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 11,789 jumlah hadiah bernilai RM8.44 juta berbanding tahun lepas, kata Ketua Pegawai Operasi Kameel Abdul Halim.

“Kami sedia maklum bahawa dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, membuat simpanan itu mungkin mencabar.



“Bagaimanapun, dengan penawaran ganjaran yang hebat ini diharap dapat menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus menyimpan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga November 2020, BSN SSP terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai dengan jumlah penyimpan di seluruh Malaysia kini seramai 4.07 juta orang dengan nilai simpanan berjumlah RM3.87 bilion.

BSN akan terus melahirkan lebih ramai lagi jutawan melalui Cabutan Istimewa BSN SSP yang masih dikekalkan bagi Kempen BSN SSP 2021 dengan ganjaran RM1 juta.



Bank itu, yang mengumumkan pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP Disember 2020 yang juga jutawan ke-12 atau ‘Super Jutawan’ membawa pulang BSN SSP RM2 juta, berkata sejak ganjaran RM1 juta mula diperkenalkan pada 2014, seramai 57 penyimpan BSN SSP telah bergelar jutawan.

BSN masih menawarkan simpanan tunai BSN SSP RM1 juta sebagai ganjaran bagi pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP untuk bulan Januari, Februari, Mac, April, Mei, Julai, Ogos, September, Oktober dan November 2021.

Pada Jun dan Disember 2021, seramai dua pemenang berpeluang untuk memenangi ganjaran BSN SSP RM1 juta.



Tempoh simpanan minimum untuk layak menyertai cabutan ini adalah 90 hari sebelum tarikh cabutan dengan simpanan minimum RM3,000.

Selain mengekalkan Cabutan Tempatan, BSN turut memperkenalkan Cabutan Bulanan Negeri — cabutan baharu bagi pelanggan di semua negeri — dan Cabutan Penyimpan Baharu juga diperkenalkan pada tahun ini untuk terus menggalakkan tabiat menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi Cabutan Bulanan Negeri, seramai 13 pemenang dari setiap negeri berpeluang untuk memenangi hadiah utama berupa simpanan tunai BSN SSP bernilai RM50,000. Cabutan ini terbuka kepada pelanggan berumur 12 tahun ke atas yang menyimpan BSN SSP dengan simpanan minimum RM100.



Sementara itu, Cabutan Penyimpan Baharu akan diadakan pada Mac, Jun, September dan Disember 2021 dengan pemenang utama cabutan ini bakal menerima simpanan tunai BSN SSP bernilai RM50,000.

Tempoh simpanan minimum untuk layak menyertai cabutan ini adalah kurang daripada satu tahun sebelum tarikh cabutan dengan simpanan minimum RM100.

BSN turut mengekalkan Cabutan Bulanan dan Cabutan Kesetiaan pada 2021.



“Saya ingin menyeru orang ramai yang masih tidak mempunyai simpanan BSN SSP untuk berbuat demikian. Kini anda mempunyai berjuta sebab untuk menyimpan dengan BSN SSP,” katanya.- BERNAMA


Sebaran :


Leave a Reply