Batal projek HSR KL-Singapura, ganti dengan laluan ke Johor jejas ekonomi negara, kata Najib

Share

Pembatalan projek keretapi laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dijangka akan digantikan dengan projek keretapi Kuala Lumpur-Johor Bahru akan bersaing dengan projek Landasan Berkembar ETS KL-JB yang dijangka siap tahun ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, kos HSR KL-JB juga dilaporkan hampir sama iaitu antara RM63 bilion hingga RM65 bilion dengan kos asal HSR Kuala Lumpur – Singapura sebanyak RM60 bilion hingga RM68 bilion.

“Jika ditukar ke Johor Bahru sahaja dan menjadi lebih perlahan berbanding kelajuan asal 350 km/sejam, projek ini tidak boleh bersaing dengan sektor penerbangan KL ke Singapura.

“Sektor penerbangan ini paling sibuk dalam dunia dan HSR dijangka boleh menurunkan kos tiket, tempoh perjalanan dan juga pencemaran udara sebab tren elektrik adalah lebih cekap dan kurang mencemarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu hari ini, Kementerian Pengangkutan Singapura mengesahkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dibatalkan.

Republik berkenaan memaklumkan, Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.

Najib berkata, bukan sahaja impian pergabungan antara dua ekonomi terbesar dan dua ibu kota negara ASEAN tidak akan tercapai, malah manfaat ekonomi bagi Malaysia daripada projek ini juga akan berkurang beberapa trilion ringgit menjelang tahun 2050.

“Tetapi satu manfaat bagi kerajaan Malaysia ialah kerajaan boleh membuat segala keputusan perolehan untuk memberi kontrak kepada mana-mana pihak dengan sendiri berbanding model JV dahulu di mana segala proses perolehan dan pemilihan vendor perlu ditimbang, dilaksanakan dan dipantau secara bersama oleh kedua-dua negara,” katanya.

Najib berkata, jika projek HSR tidak lagi berakhir di Bandar Malaysia seperti ditetapkan pada awal, maka projek Bandar Malaysia juga tidak akan mencapai potensi pembangunannya yang dianggarkan bernilai sebanyak RM140 bilion.

“Keputusan kerajaan ini akan merugikan negara sebanyak bertrilion-trilion ringgit untuk tempoh 50 tahun akan datang.

“Ini kerana walaupun kos projek agak sama tetapi jumlah pendapatan HSR, daya tarikan pelaburan asing serta manfaat ekonomi lain bagi Malaysia adalah jauh lebih rendah,” katanya. FMT

Leave a Reply