PAS rangka MN atas dasar perpaduan, tak perlu buat pilihan, kata Takiyuddin
PAS tidak melihat keperluan untuk memilih sama ada mahu bersama Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN), sekali gus menegaskan bahawa ia berpegang teguh dengan Piagam MN yang dimeterai dengan UMNO.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, parti itu menjunjung Piagam MN yang bertujuan membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
“Mana-mana pihak tidak perlu meminta PAS memilih sama ada hendak bersama MN atau tidak kerana PAS adalah antara watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah.
“PAS turut mempertegaskan betapa MN perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia amnya secara tuntas dalam kerangka perlembagaan negara,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad meminta parti itu supaya memaklumkan hala tujunya dengan jelas sama ada memilih untuk bersama MN atau PN.
Katanya, ia bagi mengelakkan situasi seperti pilihan raya negeri Sabah Sept lepas yang menyaksikan PAS tercicir daripada gabungan.
Takiyuddin juga berkata, dari sudut pendekatan dan strategi politik tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk UMNO kekal bersama Barisan Nasional (BN), mahupun parti itu menyertai mana-mana gabungan atau kerjasama politik.
“PAS berpandangan MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan di dalam negara ini,” katanya.
“Apa yang penting adalah gabungan UMNO dan PAS boleh, malah perlu, bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama dalam menghadapi PRU-15 dengan suatu persefahaman yang jitu, khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain.
“PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati, bukan sebaliknya.” FMT
You must be logged in to post a comment.