Ejen bank ‘jerat’ pelabur ASB

 

KUALA LUMPUR: Taktik pemasaran segelintir ejen bank yang memujuk pelabur membuat pinjaman sehingga maksimum RM200,000 untuk pembelian unit Amanah Saham Bumiputera
(ASB) kini menghimpit peminjam yang terpaksa melunaskan ansuran bulanan yang tinggi berikutan kadar dividen ASB yang rendah.

Ketika memujuk, ada dalam kalangan pelabur yang ‘terjerat’ kononnya dividen ASB mampu membiayai ansuran bulanan sehingga selesai tanpa memahami konsep sebenar pelaburan.
Hakikatnya, konsep pelaburan ASB adalah berdasarkan simpanan yang lebih banyak dan lebih lama membolehkan seseorang pelabur menikmati jumlah dividen lebih besar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, dividen ASB tidak sepatutnya digunakan bagi mendapatkan pulangan yang lebih banyak pada tempoh jangka masa pendek.

“Sesiapa yang melabur ASB sama ada menggunakan dana pinjaman atau duit tunai, pelaburan itu tidak wajar dikeluarkan bagi menikmati kesan
pengganda atau compounding factor daripada pelaburan tersebut.

“Jadi tidak kiralah berapa banyak wang dipinjam, perkara utama, pelabur tidak boleh mengeluarkan dividen supaya dana tersebut akan terus berkembang apabila dividen tahun seterusnya diumumkan.

“Justeru, konsep holding power iaitu mengekalkan sesuatu pelaburan masih diguna pakai dalam pelaburan ASB,” katanya semalam.

Dividen ASB: Ekonomi Jatuh Kerana PH Gagal Tadbir Urus Negara

Khamis lalu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. Agihan pendapatan tahun ini
adalah yang terendah dalam sejarah berbanding tahun lalu iaitu 5 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

Berikutan pengumuman tersebut menyebabkan pelabur yang membuat pinjaman sehingga RM200,000 bagi tempoh tertentu terpaksa menampung kos tambahan ansuran antara
RM4,000 sehingga RM5,000 setahun.

Mengulas taktik bank tersebut, Mohd. Afzanizam berkata, ia tidak sepatutnya berlaku tetapi pelabur pula sepatutnya faham dan bijak dengan apa yang mereka putuskan dalam hal pelaburan.
Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini ASB masih kekal menjadi pelaburan terbaik berbanding cabang pelaburan lain.

“Ini kerana harga unitnya tetap dan masih lagi RM1 seunit selain risiko yang rendah kerana tidak berdepan kehilangan modal,” jelasnya.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nur Adli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, pelabur ASB yang membuat pinjaman bank perlu menilai semula ansuran bulanan yang perlu dibayar sama ada mengikut kemampuan atau tidak.

“Jika tidak mampu, pelabur boleh berbincang dengan bank untuk membuat ‘refinancing’
dengan kadar yang lebih rendah,” ujarnya

Related Articles

One Comment

  1. Kalau nak selamat, pinjamlah dalam amaun yang rendah, paling tinggi pun RM50K atau RM40K. Dah langsai pinjam lagi RM50K atau lehih rendah lagi. Rakan saya sudah 3 kali pinjam RM40K, nasib baik pinjaman ketiganya ini sudah lepas separuh amaun pinjaman.

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker