UMNO patut terbuka jalin kerjasama dengan ‘sesiapa,’ asalkan perjuangan tak tersasar – Puad Zakarshi

 

PETALING JAYA: UMNO harus terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa asalkan tidak tersasar daripada perjuangan mempertahankan Perlembagaan Negara dan kontrak sosial, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi.

Beliau berkata yang mahu mengkuburkan UMNO adalah PPBM, dan bukannya PKR, mahupun DAP.

Puad berkata desakan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa, mahukan UMNO tidak berganjak daripada slogan ‘No Anwar, No DAP’ bercanggah dengan gesaannya mengenai keperluan UMNO membawa pemikiran baharu.

“Apa pemikiran baru yang mahu Annuar perjuangkan jika masih kekal dengan slogan ‘No Anwar No DAP’. Dia dakwa (jika) batalkan keputusan ‘No Anwar No DAP,’ kubu-kubu UMNO akan menjadi kubur. Itu hanya sentimen.

“Patut kita lebih terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan kekal mempertahankan Perlembagaan Negara dan kontrak sosial yang dipersetujui sejak Merdeka,” kata Puad kepada FMT.

Semalam, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menggesa BN membawa pemikiran baru dan mengikis sikap “lebih hebat” dari orang lain jika mahu menang besar pada PRU akan datang.

Beliau yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengingatkan akar umbi dan pemimpin parti komponen bahawa senario politik PRU-15 tidak sama seperti sebelumnya, yang mana pada ketika itu BN parti pemerintah yang menguasai banyak pentadbiran dan sumber yang cukup, namun tewas di tangan PH.

Puad menolak dakwaan Annuar bahawa BN dan UMNO bersikap ego malah menegaskan parti itu dari dulu bertindak sebagai suara rakyat.

“UMNO tidak ego. UMNO kekal membela rakyat seperti isu moratorium automatik dan pengeluaran ‘one-off’ akaun 1 KWSP

“Yang ego ialah kerajaan PN yang kekal dengan pelbagai syarat yang menyusahkan rakyat. Mereka yang akan dihukum oleh rakyat,” kata beliau.

Beliau menegaskan PPBM melihat UMNO sebagai musuh dan mahu melemahkan parti tunjang Barisan Nasional itu sebelum menguburkannya terus.

“Pemimpin akar umbi UMNO sudah lama sedar yang tikam UMNO dari belakang pada pilihan raya umum ke-14 adalah PPBM. Yang rancang bubarkan UMNO setelah PH berkuasa adalah PPBM, bukan PKR atau DAP.

“PPBM melihat UMNO sebagai pesaing bukan kawan. Mereka tidak boleh haramkan UMNO melalui perundangan tetapi melayan UMNO dengan cara melemahkan parti dan akhirnya kuburkan UMNO,” kata Puad.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker