Tiada lagi ‘kapcai’ untuk remaja kelak?

Share

Zaman remaja menunggang kapcai mungkin berakhir tidak lama lagi selepas polis mengemukakan cadangan kategori pelesenan baru bagi anak muda berusia 16 hingga 20 tahun hanya menunggang motosikal di bawah 70cc menjelang 2025, kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Kementerian Pengangkutan.

“Undang-undang baru perlu dipertimbangkan dalam lima tahun akan datang untuk kategori pelesenan baru khas buat remaja, di mana mereka hanya boleh menunggang motosikal berkapasiti kecil atau elektrik berkuasa rendah,” kata Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Bakri Zainal Abidin.

Ketika ini, kelayakan umur minimum untuk lesen motosikal ialah 16 tahun.

Dalam rakaman audio Mesyuarat Agung Tahunan MKJR tahun lalu, Bakri berkata, cadangan itu perlu memandangkan jumlah sangat tinggi nahas jalan raya dan kadar kematian dalam kalangan remaja menunggang kapcai atau motosikal berkuasa kecil sehingga 150cc.

“Setiap tahun tanpa gagal, penunggang motosikal berusia 16 hingga 20 tahun mencatatkan kadar kematian tertinggi berbanding kategori kumpulan umur lain untuk semua jenis kenderaan dan hampir tiada pengurangan ketara selama ini.”

Dengan kesukaran polis membendung amalan rempit di seluruh negara, beliau menyifatkan model kapcai yang dijual di pasaran “sebagai sumber yang mendorong kehancuran generasi muda, khasnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar”.

“Ia adalah jentera berkuasa. Saya beri contoh model popular dalam kalangan pemuda, model 150cc ‘Y Suku’ (Yamaha Y15ZR). Kapcai ini mampu mencapai kelajuan sehingga 160km/j,” katanya dalam mesyuarat agung tahunan itu.

“Daripada pelbagai ops yang dilakukan polis trafik di seluruh negara, kami dapati banyak jenis kapcai berbahaya kepada diri mereka dan pengguna jalan raya lain. Dan ‘Y Suku’ hanya satu daripada contoh itu,” katanya sambil menambah menunggang dengan laju dan cuai ialah punca utama nahas.

“Jika kita mempunyai kategori pemegang lesen baru ini, ia boleh menyelamatkan banyak nyawa. Ia akan memanfaatkan negara, jika kita mempunyai dasar jangka panjang bagi mengawal kumpulan sasaran 16 hingga 25 tahun dan membentuk budaya baru untuk mereka hanya menunggang motosikal berkuasa rendah,” kata Bakri.

Cadangan memansuhkan penggunaan motosikal berkuasa rendah dibangkitkan sejak 13 tahun lalu.

Pada 2007, mendiang presiden Persatuan Pengguna Pulau Pulau (CAP), SM Mohamed Idris menggesa kerajaan hanya membenarkan penunggang motosikal berusia 17 hingga 21 tahun menunggang motosikal berkuasa 70cc dan ke bawah.

Ia turut dicadangkan seorang ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dalam sebuah forum keselamatan motosikal di Perlis pada September 2019.

Bakri berkata, kapcai sepatutnya menjadi pengangkutan selamat dari destinasi A ke B.

“Adakah kita mahu ‘kuda lumba’ untuk remaja ke sekolah atau belia ke tempat kerja dan membahayakan pengguna jalan raya lain atau adakah kita mahu ‘kuda kerja’?” Bakri tanya hadirin dalam majlis keselamatan jalan itu.

Dalam dokumen yang dilihat Free Malaysia Today, cadangan polis itu dimasukkan dalam minit Mesyuarat Agung Tahunan MKJR ke-60 dan ia diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji kemungkinan mewujudkan kategori motosikal B3 yang baru. FMT

Tiga minah rempit ditahan lumba haram

Leave a Reply