Janda, duda dipenjara 1 bulan, denda RM3,000 kerana khalwat

Chukai: Pasangan kekasih berstatus janda dan duda dijatuhi hukuman penjara satu bulan dan denda RM3,000 di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman di sini, hari ini selepas didapati bersalah kerana berkhalwat.

Selain itu, wanita berusia 22 tahun dan pasangannya yang berusia 34 tahun turut berdepan tambahan hukuman penjara dua bulan lagi sekiranya mereka gagal menjelaskan denda itu.

Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof membuat keputusan itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Terdahulu, Mohd Fakhruddin dalam penghakimannya berkata, pesalah wanita dilihat tidak pernah serik kerana masih mengulangi kesalahan sama.



“Kali pertama pada 2017 dan kali kedua pula pada 2018 (kes hari ini) yang mana kamu tidak hadir dan lari daripada hadir ke mahkamah seperti diarahkan sehingga kamu ditangkap lagi ketika melakukan perbuatan tidak bermoral tahun ini.

“Kesalahan ketiga dilakukan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ia satu tempoh amaran dan ujian Allah SWT untuk manusia.

“Sepatutnya awak semakin takut untuk melakukan maksiat dalam tempoh sebegini dan saya berharap hukuman ini menjadikan masyarakat gerun dan takut untuk mendekati maksiat yang mendatangkan bala kepada seluruh ummah,” katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di sebuah bilik di Bandar Baru Kerteh di sini, jam 1.10 pagi pada 13 Februari 2018.



Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan penguat kuasa syariah daerah Kemaman melakukan pemeriksaan berwaran di lokasi kejadian hasil maklumat yang diterima.

Sebaik sampai di hadapan pintu bilik berkenaan, penguat kuasa mendapati keadaan di luar bilik gelap sebelum anggota mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali.

Bagaimanapun, anggota mendapati pintu itu tidak berkunci sebelum pemeriksaan mendapati terdapat seorang wanita dan seorang lelaki dalam bilik berkenaan.



Hasil soal siasat mendapati, kedua-duanya bukan suami isteri atau mahram. HM

Isteri orang dicekup khalwat dengan duda



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker