Jalan berlubang: Antara dua darjat
Tiada siapa yang inginkan kemalangan terjadi kepada diri, ahli keluarga dan sesiapa pun. Namun apabila ia berlaku, wajarlah kita semua sebagai rakyat Malaysia memberikan #HerdikanSosial agar kita semua mendapat keadilan yang sepatutnya.
Apakah nyawa manusia yang bukan ‘waibi’ itu tiada harga atau nilainya? Sungguh ketara ‘kasta’ yang kita semua dapat tonton pada akhir 2020 ini. Ia bukan lelucon yang perlu digelak dan diketawakan, tetapi isu yang wajar dipandang besar dan diambil peduli oleh pemimpin negeri dan negara.
Ketika orang kenamaan terlibat dengan situasi seperti itu, maka bersegeralah pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memohon maaf sebagaimana dilaporkan media pada 28 Disember 2020 baru-baru ini. Bagaimana pula kisah seorang seorang wanita maut selepas motosikal diboncengnya melanggar lubang pada 15 November 2020 lalu?
Ini bukan isu politik, namun ia dipandang sebaris dengan isu tersebut berikutan yang terkena itu seorang wakil rakyat. Namun persoalan di sini, kenapa ia perlu dibeza-bezakan layanannya?
Nyawa manusia itu sangat bernilai dan tidak dapat digadai, dijual beli. Ketika insiden seperti ini terjadi, keadilan untuk sebuah nyawa perlu diperjuangkan walaupun ia bukan seorang yang berjawatan dan dikenali.
Sebenarnya banyak lagi tragedi melibatkan jalan berlubang ini, seringnya tak diambil kisah, bahkan penunggang itu yang sering dipersalah. Lihat saja kisah penunggang motosikal maut selepas kenderaan ditunggangnya terlanggar lubang di tepi jalan raya di Jalan Telok Gong, Klang pada 2018 lalu dan tragedi-tragedi sebelumnya.
Adakah pihak JKR memohon maaf dan memberikan pampasan kepada rakyat yang menjadi mangsa keadaan itu? Apabila seorang menteri yang terkena, maka kecohlah negara, sedangkan sudah lama perkara itu diminta agar ditangani segera. Sampai bila ketidakadilan ini akan berleluasa?
Integriti yang perlu menjadi amalan diri
Sebagai sebuah jabatan kerajaan, JKR sewajarnya bertindak profesional dalam memberi maklum balas pantas melibatkan aduan kerosakan jalan. Namun, apabila berlaku kepada rakyat biasa, ia perlukan mengikut prosedur dan kerenah birokrasi yang kadangkala sangat menyusahkan.
Di manakah nilai integriti dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan? Adakah nyawa seorang menteri itu lebih nilainya daripada manusia lainnya?
Khairy Jamaluddin alami kecederaan ringan selepas terlanggar jalan berlubang di Banting, gambar hiasan
Menyingkap sejarah lampau, amanah atau integriti merupakan salah satu sifat mulia yang dizahirkan oleh Nabi Muhammad SAW. Ajaran untuk bersifat amanah ini sejalan dengan perintah Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 58 yang bermaksud:
“Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat.”
Ketika berlakunya konflik kepentingan, keutamaan haruslah diberikan kepada kelangsungan kepentingan awam, bukan memilih. Kerana ia seorang yang ternama atau dikenali, maka segala aduannya dilayan segera.
Suara jujur rakyat
Tertarik saya membaca komentar masyarakat di media sosial Facebook yang rasional untuk kita fikirkan antaranya:
“Ini satu lagi amalan agensi-agensi kerajaan yang lalai dalam melunaskan tanggungjawab sosialnya tapi kali ini mereka mengaku salah di atas kelalaian sehingga menyebabkan kecederaan pada pengguna tapi kali ini melibatkan menteri dan secepat kilat memohon ampun dan maaf.”
“Sudah berapa banyak kemalangan yangg berlaku di atas kelalaian yang sama tapi langsung tidak dipedulikan apa lagi nak minta maaf.”
“Apakah yang sebenarnya berlaku dalam agensi-agensi kerajaan sehingga menyebabkan berlakunya keadaan ini?”
Seorang pengguna Facebook yang bernama Amran berkata:
“Kalau rakyat marhaen sampai pecah sport rim kereta langgar lubang, ada JKR minta maaf?”
Dalam pada itu, Spirit Of Malaya pula memberikan saranannya untuk diambil tindakan.
“Saya sarankan supaya JKR membuka satu website bertajuk “jalanberlubang.com” bagi setiap negeri! Rakyat boleh melaporkan jalan-jalan berlubang yang membahayakan keselamatan di dalamnya! Jikalau tindakan tidak diambil dalam masa 24 jam, JKR bolehlah meminta maaf sebelum sebarang kemalangan berlaku!”
Begitulah suara rakyat yang perlu diambil kisah dan didengari pihak yang berwajib. Ini melibatkan soal integriti dan kredibiliti apalagi apabila tragedi itu terjadi melibatkan hilangnya nyawa manusia.
#HerdikanSosial masyarakat
Realitinya, integriti berkait rapat dengan isu-isu etika dan nilai murni. Menurut Pengarah dan Ketua Penyelaras Program Koordinasi dan Pemantauan Institut Integriti Malaysia (Integriti) Tuan Hamilye Sham Harun, integriti penjawat awam memerlukan mereka bertindak jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada peraturan dan undang-undang.
Justeru, kepentingan meletakkan budaya berintegriti di tahap tertinggi perlulah diterapkan agar ia menjadi keutamaan dalam hidup kita sepanjang masa dan ia perlu didesak agar keadilan dapat diletakkan di tempat yang sewajarnya.
Maka, adalah penting bagi penjawat awam melaksanakan segala amanah dengan sebaiknya supaya tahap kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam tidak terjejas sehingga boleh mengganggu kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara.
Untuk itu, sama-sama kita jadikan #HerdikanSosial sebagai platform masyarakat untuk menegur dan memberikan kritikan membina agar penjawat awam tidak bertindak dalam sesuatu perkara bagai melepaskan batuk di tangga.
Adillah dalam bertindak dan segeralah memperbaiki mutu perkhidmatan dengan bersungguh-sungguh, budayakan integriti sebenar dalam melaksanakan amanah dan hapuskan kasta juga layanan antara dua darjat yang memualkan ini.
ATRIZA UMAR
Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan Ikram Malaysia.