Pemuda Umno Johor sokong saranan Tok Mat
Tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-4) lalu perlu menginsafkan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sejak dari PRU-14, sewajarnya BN perlu berubah demi memastikan parti kembali dapat diterima oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.
BN perlu keluar dari gerak kerja biasa sehingga dilihat orang luar terlalu eksklusif sehingga menyebabkan kekalahan parti dalam Pilihan Raya Umum lalu.
Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda Umno Negeri Johor menyokong dan menyambut baik saranan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya BN membina kekuatan baru termasuk menerima penyertaan beberapa parti politik yang sebelum ini menjadi rakan kita.
Tok Mat memaklumkan BN tidak lagi boleh bersifat eksklusif dan beliau secara peribadi berpendapat penglibatan lebih banyak parti akan menambah kekuatan kepada BN.
Itulah yang perlu dilakukan oleh BN sejak PRU-14 iaitu menambah kekuatan baharu. BN tidak boleh kekal ditakuk lama kerana persaingan bagi menghadapi PRU-15 pasti lebih mencabar.
Perubahan secara total perlu dilakukan BN demi memastikan parti kembali dapat diterima rakyat dengan kekuatan baharu yang lebih mantap dan tersusun bagi mentadbir negara tercinta ini.
Apa yang penting, kita perlu membina dan meningkatkan kembali kepercayaan rakyat dan buktikan kepada rakyat bahawa BN adalah sebuah parti yang inklusif bukan eksklusif.
Segala amalan dan sikap sebelum ini perlu diubah suai, apa dasar-dasar dan asas BN perlu dikaji semula supaya yang penting dua hala tuju yang perlu kita buat iaitu perkasakan parti dan susun strategi untk menang PRU-15.
Pergerakan Pemuda Umno negeri Johor juga menyokong dan menyambut baik saranan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya kerajaan menubuhkan pasukan khas siasatan dan mendedahkan segera syarikat kartel daging haram.
Isu berkenaan telah memberikan keraguan umat Islam terhadap status halal daging import yang berada dalam pasaran ketika ini.
Isu ini juga perlu diselesaikan secara tuntas oleh pihak berwajib kerana ia membabitkan soal maruah dan makanan halal umat Islam.
Penyelesaian secara bermaruah perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif terhadap pihak berkenaan dan menjamin daging yang dijual tidak diragui status halalnya.
Pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan dan seperti kenyataan Dr Asyraf Wajdi Dusuki, biar siapapun terlibat, mereka tidak boleh dilindungi.
Ia melihatkan maruah umat Islam.
MOHD HAIRI BIN MAD SHAH
Ketua Pemuda Umno Johor
You must be logged in to post a comment.