Menteri Kesihatan saran lanjut PKPP

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi saranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melanjutkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), yang dijadualkan berakhir pada 31 Ogos ini.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, saranan itu berikutan jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengatakan wabak Covid-19 akan berlarutan dalam tempoh tidak kurang 2 tahun.

Beliau berkata, tempoh 2 tahun merupakan tempoh yang lama, dan kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk membendung penularan wabak berkenaan, termasuk melancarkan kempen pembudayaan normal baharu.

“Untuk PKPP yang akan berakhir pada 31 Ogos, pihak KKM telah membuat saranan kepada pihak MKN dan juga perdana menteri, supaya ia dipertimbangkan untuk kita laksanakan sehingga keadaan lebih terkawal. Jadi terpulang kepada perdana menteri, untuk umumkannya dalam masa terdekat.

“Kita lihat di negara yang tertentu masih bergelut dengan kes meningkat manakala di negara kita, kita masih memperkukuhkan dan mengawal pintu masuk dan sempadan dengan baik,” katanya hari ini.

Adham berkata, KKM akan terus melaksanakan kaedah pengesanan secara aktif menerusi aplikasi MySejahtera, dan buku rekod pelanggan, bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kluster Covid-19.

Mengulas mengenai denda RM1,000 dikenakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali beliau berkata, ia bergantung kepada keputusan yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.

“Yang itu (denda RM1,000) sudah diselesaikan. Datuk DG (Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah) dah komen dalam Twitter.

“Kita (KKM) tengok pelbagai angle (sudut). Untuk kompaun maksimum RM1,000 (di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), kalau ada (pihak berkuasa) nak dakwa lain itu terpulang,” katanya.

Terdahulu, KKM dalam kenyataannya berkata, Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta342).

Ia memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker