Ramai lupa SOP COVID-19, polis tingkat pemantauan

PETALING JAYA: Polis akan meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di tempat awam, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang didapati mengingkari peraturan itu berikutan statistik terbaru COVID-19 yang menunjukkan jumlah kes yang tinggi.

“Sempena cuti hujung tahun dan musim perayaan, ramai yang ambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman, berkunjung ke tempat peranginan serta mengadakan majlis keramaian.

“Tidak dinafikan, aktiviti sedemikian akan mewujudkan situasi orang ramai akan berkumpul dalam bilangan yang ramai.

“Pemantauan mendapati masih ada yang leka dan kurang ambil berat mengenai aspek pematuhan SOP bagi membendung penularan COVID-19,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, masyarakat turut diingatkan supaya mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam komuniti serta mengelakkan 3S, iaitu tempat sesak, sempit dan sembang dekat dalam aktiviti harian.

“Bagi membendung penularan wabak ini, kita perlu berganding bahu untuk memutuskan rantaian dan melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengingatkan acara sambutan, termasuk ambang 2021, yang melibatkan kehadiran pengunjung yang ramai hingga menyukarkan penjarakan sosial tidak dibenarkan.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak melarang mana-mana individu untuk menyambut tahun baharu secara bersendirian atau bersama ahli keluarga dalam jumlah yang kecil di kediaman masing-masing.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker