Logistik jadi sebab pesakit tanpa gejala disaran kuarantin di rumah

Kelewatan logistik untuk memindahkan pesakit merupakan sebab Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan sebahagian pesakit Covid-19 yang tidak menunjukkan gejala agar melakukan kuarantin kendiri di rumah sehingga dijemput pihak hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah petang ini berkata kelewatan logisitk berlaku terutama di Lembah Klang.

Dia menjelaskan katil untuk pesakit Covid-19 masih mencukupi di dua hospital di Lembah Klang iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.



“Setakat ini kemampuan keseluruhan untuk hospital di Selangor adalah 59 peratus – jadi kita masih ada keupayaan untuk merawati pesakit tapi ada kelewatan itu untuk memindahkan pesakit dari rumah ke hospital,” jelasnya.

Ditanya punca mengenai kelewatan logistik berkenaan, Hisham berkata ia disebabkan oleh lonjakan kes di Selangor dan Kuala Lumpur ditambah dengan masa yang diperlukan untuk mengatur keperluan logistik.

“Kelewatan berlaku sebab peningkatan pesakit-pesakit yang positif yang telah dikesan iaitu bila peningkatan pesakit jadi mungkin (masalah) dari segi logistik untuk menghantar pesakit dari rumah ke hospital,” katanya.

Berikut adalah garis panduan kementerian untuk pesakit Covid-19 tanpa gejala yang perlu menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu dibawa ke hospital:



  • Kekal berada di rumah dan mengasingkan diri daripada ahli keluarga dan rakan serumah.
  • Pakai pelitup muka di rumah.
  • Sentiasa berhubung dengan jabatan kesihatan daerah dan ikuti semua arahan yang diberikan.

Pesakit berisiko tinggi menjangkiti orang lain antara tiga hari sebelum mengalami gejala dan tujuh hari setelah mengalami gejala.

Pertimbangkan kuarantin di rumah

Semasa sidang media hari ini, Dr Noor Hisham berulang kali menegaskan bahawa dasar kementerian adalah merawat semua pesakit Covid-19 di hospital tanpa mengira kategori dan tahap keadaan pesakit.

Namun katanya, KKM sedang mempertimbangkan kemungkinan pesakit tanpa gejala atau gejala ringan menjalani kuarantin rumah dengan mematuhi beberapa kriteria tertentu.



“Kita sedang mempertimbangkan iaitu sama ada boleh tak kita kuarantinkan pesakit yang positif di rumah. Kalau kita nak laksanakan – ada beberapa kriteria yang kita kena patuhi.

“Yang pertama kita kena lihat nilai iaitu kesesuaian rumah, bilik, bilik air dan sebagainya.

“Kita kena lihat juga kepada health assessment tool – bagaimana petugas-petugas kita dapat memantau kesihatan seseorang itu di rumah,” jelasnya.

Selain itu katanya pertimbangan juga dibuat sama ada kementerian boleh menempatkan pesakit yang mengalami gejala ringan di asrama pekerja sekiranya premis tersebut sesuai digunakan.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker