Hospital tidak lagi mampu tampung pesakit Covid yang banyak – Dr. Noor Hisham
DENGAN jumlah pesakit aktif Covid-19 kini lebih 20,000 orang hospital-hospital kerajaan tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan mereka yang positif Covid-19 tetapi tidak menunjukkan simptomatik untuk diasingkan di rumah,
Ini kerana mereka mungkin tidak segera dibawa ke hospital kerana masalah logistik yang sedang dihadapi.
Dr Noor Hisham mengatakan bahawa ini kerana Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini menangani banyak kes dan masalah penempatan pesakit yang dibawa ke hospital.
“Ini juga berlaku di Sabah. Kami bercakap mengenai lebih daripada 1,000 kes sehari. Ini kerana peningkatan ujian di kalangan pekerja asing, dan seperti yang dijangkakan lebih banyak kes didiagnosis.
“Pekerja asing tidak ada tempat untuk diasingkan … kami ada ribuan di sini. Kami menambah bilangan katil menjadi 10,000,” katanya kepada Malay Mail ketika dihubungi.
Kes baru Covid-19 di negara ini kelmarin turun kepada 1,196 berbanding rekod sebelumnya sebanyak 2,335 jangkitan.
Sejak beberapa minggu yang lepas jumlah kes harian yang dicatatkan adalah lebih daripada 1,000 kes sehari. SM