Saya mohon maaf, akan berubah ke arah lebih positif – CEO TH Properties

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties Sdn Bhd Damanhuri Mahmod berkata tindakannya mengeluarkan kata-kata kurang sopan seperti dipaparkan dalam video yang tular tidak mencerminkan nilai syarikat dan memohon maaf atas perbuatan itu.

“Saya mohon maaf. Kami akan berusaha untuk berubah ke arah yang lebih positif untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni bagi warga TH Properties,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini tular satu video berdurasi hampir tiga minit menerusi media sosial memaparkan Damanhuri mengeluarkan kata-kata kurang sopan dalam satu mesyuarat yang dipercayai melibatkan kakitangan pentadbiran syarikat hartanah berkenaan.



Dalam kenyataan sama, TH Properties kesal dengan pengambilan dan penyebaran video mesyuarat yang hanya melibatkan kakitangan pengurusan terpilih itu kerana jelas bertentangan dengan polisi syarikat.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan pemimpin tertinggi anak syarikat TH itu tidak mewakili imej sebenar syarikat berkenaan.

Sebaliknya kata beliau, tindakan itu adalah kesalahan peribadi individu berkenaan.

Ahmad Marzuk berkata, ada keperluan untuk isu tersebut disiasat bagi mengenal pasti dalang di sebalik kebocoran rakaman video berkenaan.



“Mesyuarat itu sebenarnya adalah tertutup dan kita tidak tahu bagaimana ia boleh bocor…Barangkali ada perkara perlu dilakukan siasatan secara menyeluruh dan komprehensif daripada aspek pentadbiran,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker