Kes Covid-19 semakin tinggi, ‘stay at home’ – Annuar

Jumlah pengidap positif Covid-19 yang mencatatkan kes tertinggi semalam membimbangkan semua pihak.

Ini disuarakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang melihat angka 2,335 kes direkodkan itu sebagai suatu yang tidak boleh dipandang ringan.

Beliau sebaliknya menasihatkan orang ramai kembali mengamalkan kehidupan norma baharu seperti sebelum ini iaitu tinggal di rumah (stay at home) sebagai usaha mengelakkan daripada jangkitan virus Covid-19.

“Dengan 2,335 kes baru dan ramainya pengunjung ke tempat percutian serta pusat membeli belah, rasanya wajar kita kembali kepada situasi stay at home dan mengamalkan dasar lebih selamat.

“Ia boleh dilakukan secara sukarela dengan mengawal pergerakan tanpa sebarang paksaan,” katanya menerusi ciapan Twitternya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, sebanyak 2,335 kes positif Covid-19 baharu direkodkan Kementerian Kesihatan untuk tempoh 24 jam hingga jam 12 tengah semalam, kes harian tertinggi sejak Mac lalu.

Berikutan itu, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 103,900 kes, dengan 874 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya 83,414 kes.

Menurut Dr. Noor Hisham, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula meningkat kepada 20,035 kes dengan 108 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), yang mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan. MG

TNB never cheats Rakyat.

Leave a Reply