Warga emas keluar beli santan hilang, akhirnya jadi mayat di hutan paya bakau

KLANG: Kehilangan seorang warga tua yang dilaporkan hilang ketika keluar membeli santan sejak Khamis lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan di Jalan Sri Sementa di sini hari ini.

Mayat R. Harikrishnan, 75, ditemukan di sebuah hutan paya bakau kira-kira pukul 4.28 petang tadi.

Timbalan Ketua Zon Bomba Klang, Khairulazhar A. Rahaman berkata, pihaknya telah dihubungi pihak polis mengatakan mangsa yang tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu.



Menurutnya, keluarganya melaporkan kepada polis bahawa mangsa telah keluar untuk membeli santan di kedai berdekatan rumahnya, Khamis lalu.

“Namun, dia tidak pulang ke rumah dan keluarganya membuat laporan polis di balai polis Kapar semalam.

“Operasi bagi mencari dan menyelamatkan bermula pukul 11 pagi dengan penglibatan seramai 13 anggota serta pegawai daripada balai bomba dan penyelamat (BBP) Sungai Pinang dan ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khairulazhar berkata, radius kawasan pencarian mangsa dianggarkan kira-kira lima kilometer dengan pasukan menyelamat menemukan sepasang selipar dan basikal mangsa 1.5 kilometer daripada tempat mayat mangsa ditemui.



“Pasukan anjing pengesan menemui mayat mangsa di belakang sebuah pokok bakau.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker