Mat Sabu tak senang Amanah ‘kacau’ selepas pemilihan
PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu secara terbuka menyatakan rasa tidak senangnya dengan keadaan parti itu yang berantakan selepas pemilihan parti tahun lalu.
“Masih ada riak dan gejala yang amat saya tidak senangi. Kita mahu ahli bersaing secara sihat dan terbuka, namun pertikaian serta konflik yang berlanjutan hingga ke hari ini mesti ditangani secara lebih tuntas dan muktamad,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Amanah Nasional 2020 di Melaka.
Beliau menegaskan, Lembaga Tatatertib dan Biro Pembangunan Ahli dan Sumber parti tidak teragak-agak mengambil langkah pencegahan bagi meneliti gejala dan bibit yang harus segera dibanteras sebelum menular dan membarah.
“Amanah akan terus dengan amalan membina lapisan kepimpinan baru serta keterlibatan seluruh tenaga anggota termasuk sayap parti bagi memastikan kita parti Islam ini tidak mengalami nasib tabiat organisasi bercorak gelagat ‘satu generasi’ yang pupus bersama generasi pengasas,” katanya.
Pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti bagi sesi 2019-2022 tahun lalu menyaksikan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, memperoleh undi tertinggi dengan 786, diikuti Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar (780).
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan ketika itu memperoleh 681 undi daripada 822 perwakilan dan berada pada kedudukan ketujuh daripada 27 ahli jawatankuasa (AJK).
Mesyuarat membabitkan 27 AJK Pimpinan Nasional bersama speaker, ketua tiga sayap dan 14 pengerusi negeri pada malam pemilihan itu bersetuju mengekalkan barisan kepemimpinan lalu apabila membuat keputusan sebulat suara mengekalkan jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.
Dalam pada itu, Mohamad juga menyatakan kekesalannya terhadap individu yang melompat parti selepas menang atas tiket Amanah pada pilihan raya umum lalu.
“Tidak perlu saya ulang fenomena lompat dan khianat dalam kalangan mereka yang telah kita berikan tanggungjawab dan posisi.
“Kita boleh memaafkan tetapi kita tidak boleh lupa semua pengalaman ini dan akan menjadi sempadan dalam perjuangan kita,” katanya.
Baru-baru ini, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu keluar parti dan menyertai parti lain antaranya ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang menyertai PKR.
Manakala terbaru, ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengumumkan keluar parti itu dan memilih untuk menjadi ADUN Bebas.
You must be logged in to post a comment.