Ustaz Kazim Mahu Bertemu Pendakwah Selebriti

Penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berhasrat bertemu pendakwah selebriti yang terkait dengan kontroversi hingga mencalar nama dan imej golongan itu.

Ustaz Kazim berkata, beliau bertanggungjawab bertemu peserta program seperti Da’i dan Pencetus Ummah (PU) bagi mengelak kontroversi terus memberi imej buruk kepada golongan pendakwah.

“Sebagai seorang yang pernah terbabit secara langsung dengan program agama selaku bekas guru dan juri mereka saban tahun, mungkin saya akan kumpulkan semua barisan Da’i dan PU untuk suatu perjumpaan,” katanya.



“Menerusi pertemuan dapat bertukar fikiran dan berkongsi pandangan bagi melahirkan pendakwah yang lebih berkualiti.

“Selain itu, ada yang membangkitkan cadangan agar menubuhkan suruhanjaya bagi mengiktiraf pendakwah. Kita ada suruhanjaya mengiktiraf doktor, akauntan dan sebagainya.

“Jadi untuk barisan ustaz juga perlu ada badan khas yang memberikan tempoh tertentu atau syarat kelayakan bagi melayakkan mereka digelar ustaz,” katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai kontroversi membabitkan Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 25, atau dikenali sebagai Dai’ Syed, Ustaz Kazim berharap netizen tidak semena-mena menjatuhkan hukuman.



“Untuk kes ini, biar mahkamah menentukan, kita serahkan pada pihak mahkamah untuk soal itu. Sebagai orang Islam kita tak boleh hendak menjatuhkan hukum sebelum mahkamah menentukan kesalahan seseorang.

“Bagi kami, yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar. Jadi berharap netizen memberi ruang dan waktu untuk perbicaraan dilakukan.

“Tunggu sampai keputusan dijatuhkan, kalau bersalah, dia tetap salah walau siapa dia sekalipun.

“Bagaimanapun, kita kena menggunakan konsep hikmah dalam perkara ini. Konsep itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan ini,” katanya ketika ditemui dalam program Tausiyah bersama Pendakwah Selebriti di Sepang, semalam.



 

Ustaz Don menasihatkan pendakwah selebriti pandai menjaga diri, akhlak dan tatasusila. - NSTP/Luqman Hakim
Ustaz Don menasihatkan pendakwah selebriti pandai menjaga diri, akhlak dan tatasusila. – NSTP/Luqman Hakim

Mengulas mengenai konsep hikmah, Ustaz Don berkata, ada pelajaran tersirat dalam kontroversi tercetus.

“Contohnya, boleh jadi ada orang yang berniat jahat hendak buat perkara sedemikian, tapi apabila jadi begini, dia insaf.

“Disebabkan itu, Islam mengajar kita memandang sesuatu itu dengan penuh hikmah agar kita dapat memandang semua perkara dari sudut positif,” katanya.



Ustaz Don turut menasihatkan pendakwah pandai menjaga diri, akhlak dan tatasusila.

“Kita sebagai orang yang diperhatikan masyarakat, kita kena pandai menjaga diri terutamanya apa saja yang membabitkan maruah.

“Apatah lagi kita tahu, fitnah kepada lelaki adalah perempuan dan fitnah kepada perempuan adalah lelaki. Tapi bukan barisan ustaz saja, semua orang juga perlu menjaga diri,” katanya.

Sebelum ini, Dai’ Syed, ditahan pada 27 November lalu bagi membantu siasatan kes salah laku seks. Pada 10 Disember lalu, Dai’ Syed berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya, iaitu melakukan persetubuhan luar tabii dan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang pelajar wanita. Dia turut berdepan pertuduhan merogol seorang wanita di Mahkamah Seysen Shah Alam.



[VIDEO] Rakan Dai Syed, Wanns Ahmad Dedahkan Perangai Sebenar Kawan Baiknya Itu

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker