PPZ- MAIWP Sanggah Dakwaan ASWAJA, Shopee Bukan Amil

Bayaran zakat menerusi Shopee bukan pelantikan amil – PPZ-MAIWP

Bayaran zakat menerusi Shopee bukan pelantikan amil - PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR: Kaedah bayaran zakat melalui platform e-dagang, Shopee tidak dikategorikan sebagai pelantikan amil zakat seperti yang didakwa sesetangah pihak.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee, ia merupakan salah satu instrumen (wasilah) atau pemudah cara kepada umat Islam untuk membayar zakat.

“Dakwaan bahawa Shopee telah dilantik sebagai Amil kutipan zakat adalah tidak benar sama sekali, malah pengurusan kutipan dan agihan zakat tetap di bawah tanggungjawab serta seliaan PPZ-MAIWP.
“Justeru, tidak timbul pertikaian mengenai perlantikan tersebut.

“Kita boleh ambil contoh bagaimana bayaran zakat tanaman dan ternakan tidak lagi dibuat secara fizikal, sebaliknya dibayar dengan nilai wang yang dipindahkan ke PPZ menerusi transaksi bank secara dalam talian, sepertimana yang telah diputuskan pihak berwajib.



“Adalah dimaklumkan, sebelum Shopee dibolehlantikkan sebagai agen bayaran zakat, PPZ sudah tentu telah mendapat pandangan dan kerjasama daripada pakar-pakar agama dan yang berkaitan dengannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Syed Ali dalam pada itu menjelaskan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kini boleh membuat pembayaran zakat di PPZ-MAIWP menerusi aplikasi Shopee apabila platform e-dagang tersebut dilantik sebagai ejen kutipan terkini bagi memudahkan bayaran zakat secara dalam talian.

“Menerusi aplikasi berkenaan, pengguna Shopee boleh menunaikan pembayaran zakat harta serta fitrah tanpa had kepada PPZ pada bila-bila masa dengan lebih mudah dan pantas.

“Pembayaran zakat boleh dilakukan melalui dompet mudah alih ShopeePay, kad debit, perbankan atas talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven.



“Pihak PPZ sentiasa mempelbagaikan saluran bayaran bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat dengan selamat, lebih-lebih lagi dalam situasi norma baharu pada masa kini.

“Kerjasama ini dijangka akan dapat membantu ramai pengguna Shopee terutamanya dalam kalangan Muslim menunaikan zakat,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker