Perkhidmatan feri P Pinang diteruskan, keselamatan penumpang diutama, kata Wee

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang akan diteruskan dengan menawarkan perkhidmatan yang moden demi keselamatan dan keselesaan penumpang.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, beberapa pihak melahirkan perasaan kesal atas keputusan untuk menyediakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang lebih selamat, cepat dan mengurangkan kos penyelenggaraan yang kian meningkat disebabkan faktor feri berusia 47 tahun yang perlu diselenggara secara purata sebulan sekali.

“Adalah ditegaskan bahawa keselamatan penumpang adalah keutamaan kami di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

“Oleh itu, MOT membuat keputusan untuk memodenkan perkhidmatan feri ini demi keselamatan dan keselesaan penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Wee Ka Siong.

Feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun adalah perkhidmatan feri tertua di negara ini dan juga perkhidmatan feri lintas selat pertama antara Pulau Pinang dan tanah besar, bermula pada tahun 1894.

Sebelum ini dilaporkan perkhidmatan feri tersebut akan dihentikan pada 31 Dis ini.

Wee berkata, beliau sekali lagi hari ini menerangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berhubung rancangan kerajaan persekutuan untuk menaik taraf feri sedia ada, mengambil kira keselamatan, daya tahan dan keselamatan penumpang bagi memastikan perkhidmatan itu akan terus dinikmati oleh rakyat tempatan, termasuk pelancong.

“Saya amat menghargai pemahaman ketua menteri dalam perkara ini dan kami turut berharap perkara ini dapat diteruskan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Wee berkata, fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula 1 Jan 2021 dan diikuti dengan dua pengangkut kenderaan yang akan hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal), yang akan beroperasi mulai tahun 2022.

Pada 17 Dis lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat, RM30 juta diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran, iaitu pada tahun 2021 dan 2022.

Sebagai langkah sementara, Wee berkata, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan menyediakan dua bot penumpang laju untuk mengangkut penumpang serta mendapatkan perkhidmatan feri milik Prasarana untuk mengangkut kenderaan dua roda dalam usaha membantu proses peralihan ke kapal baharu dalam tempoh berkenaan.

“PPSB juga akan menawarkan perkhidmatan bot laju secara percuma kepada penumpang untuk dua minggu mulai 1 Jan 2021,” katanya.

Bagi mengekalkan sejarah ikonik Pulau Pinang, Wee berkata, pihaknya akan mempertimbangkan idea yang dicadangkan oleh beberapa pihak untuk menjadikan feri sedia ada sebagai restoran terapung, muzium atau pelayaran pelancongan yang akan dapat memperingati sumbangan feri Pulau Pinang kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri berkenaan.

Beliau berkata, dijangkakan lebih ramai pengguna kenderaan motor akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk perjalanan antara tanah besar di Seberang Perai dan pulau, yang lebih selamat, cepat dan murah berbanding feri.

Leave a Reply