Denda RM2,700 jika pelihara kucing tanpa mikrocip

LONDON – Pemilik kucing yang enggan memasang mikrocip pada haiwan peliharaan mereka bakal didenda sebanyak £500 (RM2,730) apabila skim penanaman mikrocip dikuat kuasa bermula awal tahun depan di Britain, lapor akhbar Daily Mail.

Menteri Kebajikan Haiwan, Lord Goldsmith berkata, skim tersebut diperkenalkan bagi mengurangkan kes kehilangan kucing peliharaan di negara itu.

Skim seumpama itu telah dilaksanakan ke atas anjing peliharaan sejak tahun 2016 yang turut mengenakan denda sama terhadap pemilik haiwan yang gagal berbuat demikian.

Ketua Eksekutif badan kebajikan haiwan Cats Protection, James Yeates pula berkata, sekurang-kurangnya 2.6 juta ekor atau 26 peratus kucing di Britain tidak dipasang mikrocip.

“Menanam cip mikro pada kucing memberi peluang terbaik kepada haiwan itu untuk disatukan semula dengan pemiliknya jika berlaku kes kehilangan.

“Kita sering dengar kisah menyentuh hati apabila kucing hilang disatukan semula dengan pemiliknya kerana maklumat dalam mikrocip haiwan itu,” katanya.

Selain itu, badan kebajikan itu turut melaporkan lapan daripada 10 ekor kucing terbiar yang dihantar ke pusat perlindungan haiwan miliknya di Britain pada 2018 tidak mempunyai mikrocip.

Sementara itu, tinjauan oleh Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar mendapati 99 peratus responden setuju untuk mewajibkan penanaman mikrocip pada kucing.

Pemasangan mikrocip tersebut melibatkan proses memasukkan alat pengesan sebesar sebutir beras yang mempunyai nombor unik dan boleh diimbas di bawah kulit kucing peliharaan. – AGENSI

[VIDEO] Berkorban Apa Sahaja..Lelaki Bergelut Dengan Aligator Untuk Selamatkan Anjingnya

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker