Pekerjaan, ekonomi dijangka hanya meningkat pada September 2021, kata pakar

Rakyat Malaysia perlu membuat keputusan sukar dan berdepan kadar pengangguran tinggi serta kelembapan ekonomi sehingga suku ketiga malah mungkin juga suku tahun keempat tahun depan, sementara negara menunggu keberkesanan vaksin Covid-19, kata para pakar.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan menjangkakan pengangguran akan kekal tinggi tahun depan.

Katanya, ini kerana, setiap tahun kira-kira 500,000 rakyat memasuki pasaran pekerjaan, yang bermaksud mereka dari tahun ini dan tahun depan perlu bersaing untuk mendapatkan pekerjaan yang ada.

“Akan ada sekurang-kurangnya sejuta orang mencari kerja tahun depan.

“Kerajaan berkata akan mewujudkan pekerjaan, tetapi akan ada dua kali ganda jumlah pencari kerja baharu pada 2021,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata ekonomi gig meningkat tetapi terlalu banyak pemain dalam beberapa sektor terpilih. Beliau berkata sebelum pandemik Covid-19, terdapat kira-kira 500,000 penduduk tempatan terlibat dalam ekonomi gig yang meningkat kepada 2.5 juta.

Beliau menjelaskan, pemandu e-panggilan, Grab malah mengadu mengenai kekurangan jumlah penumpang berikutan persaingan yang sengit, dan perkara sama dihadapi penghantar makanan.

“Syarikat penghantaran makanan dan penghantar makanan membuat duit tetapi sekarang ada banyak pemain (industri),” tambahnya.

Katanya, perniagaan akan terus melihat tahun yang mencabar hingga sekurang-kurangnya suku ketiga 2021 atau sehingga vaksin Covid-19 membendung jangkitan.

“Sehingga itu, syarikat akan terus membeku pekerjaan. Mereka tidak akan menggaji atau memperluas perniagaan kecuali mungkin bagi mereka yang berada di sektor perladangan dan peralatan kesihatan,” tambahnya.

Rancangan kompetitif diperlukan untuk pacu ekonomi

Ahli ekonomi Yeah Kim Leng berkata kumpulan pertama menerima vaksin – yang diumumkan Putrajaya akan tiba pada Februari ini – adalah dalam kalangan barisan hadapan dan kumpulan rentan lain.

“Sebaik vaksin dilancarkan dan yang lain menyaksikan keberkesanannya, lebih banyak orang mungkin akan diberi imunisasi.

“Apabila penerimaan vaksin meningkat, tahap keyakinan juga meningkat dan barulah perniagaan akan mula berkembang dan mengambil pekerja semula,” katanya kepada FMT.

Bagi pelabur, beliau berkata Putrajaya perlu melancarkan rancangan “kompetitif” untuk menarik pelabur asing dan tempatan, dan menghalang mereka dari berpindah ke negara jiran seperti Thailand, Kemboja, Vietnam dan Indonesia untuk mengurangkan kos operasi.

Katanya, salah satu caranya ialah dengan Malaysia mempunyai nilai tambah teknologi dan menghasilkan produk berkualiti sehingga margin keuntungan lebih tinggi daripada di negara jiran.

Berhubung rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan, Yeah berkata kira-kira 4% rakyat dijangka kekal menganggur sehingga sekurang-kurangnya September tahun depan.

“Angka itu hanya akan menurun ketika perbelanjaan para pengguna meningkat,” katanya, sambil menambah itu hanya akan berlaku selepas jangkitan Covid-19 menurun.

Yeah, yang merupakan profesor ekonomi dari Universiti Sunway menambah, PKS mesti diberi insentif untuk memindahkan rantaian nilai dan melabur dalam automasi. Dengan automasi, lebih ramai rakyat tempatan dapat bekerja dengan gaji yang lebih tinggi.

“Kebergantungan kita pada buruh asing mengakibatkan tekanan dalam gaji,” kata Yeah.

Tahap pengangguran Malaysia meningkat kepada 5.3% pada Mei, kadar tertinggi sejak 30 tahun selepas 5.7% pada 1989. Statistik rasmi menunjukkan terdapat 826,100 penganggur pada Mei, meningkat 6% dari 778,800 pada April semasa perintah kawalan pergerakan (PKP). FMT

20 pekerjaan paling popular di Malaysia 2020/2021

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker