Tak guna punya bapa

Pasir Gudang: Seorang lelaki berusia 28 tahun sanggup membawa anaknya berusia empat tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) Autism untuk melakukan tiga siri jenayah sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pertama dilaporkan pada 12.10 tengah malam apabila suspek yang bersenjatakan pisau panjang mengancam sebelum melarikan kereta Proton Wira milik lelaki Indonesia di kawasan warung, Taman Air Biru, Pasir Gudang.

Menurutnya, pada 12.50 tengah malam pula, suspek menahan seorang wanita berusia 55 tahun dipercayai gelandangan dan memaksa mangsa mengikutinya menaiki kenderaan yang dicuri itu.

“Suspek kemudian membawa anak lelakinya berpusing-pusing sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang sebelum kereta itu kehabisan minyak di kawasan perumahan di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang sekitar jam 2.35 pagi.



“Dia (suspek) meninggalkan kenderaan itu dan wanita terbabit sebelum berlalu pergi bersama anaknya. Mangsa (wanita) kemudian meminta bantuan pengawal keselamatan sekolah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Menurut Shahrulanuar Mushaddat, suspek terus melakukan jenayah dengan mengancam dua pekerja Bangladesh di stesen minyak di Jalan Pelabuhan Pasir Gudang menggunakan senjata sama dan meminta wang daripada mangsa.

“Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang bimbang dicederakan menyerahkan sejumlah wang kepada suspek,” katanya.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, sebaik menerima maklumat berkaitan kejadian itu, gerakan secara bersepadu diaktifkan bagi memburu suspek.



“Suspek berjaya ditahan jam 8 malam di sebuah rumah di kawasan Taman Air Biru,” katanya.

Mengulas mengenai drama penahanan itu, Shahrulanuar Mushaddat berkata, suspek bersenjatakan pisau panjang yang sama digunakan untuk jenayah lain sebelum itu mengugut untuk membunuh anaknya selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Usaha memujuk dilakukan hampir dua jam namun tidak berjaya. Polis terpaksa menggunakan kekerasan munasabah untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

“Biarpun berlaku pergelutan antara suspek dan polis, anaknya berjaya diselamatkan. Namun, kanak-kanak itu mengalami luka ringan di dahi manakala suspek juga cedera di tangan kiri,” katanya.



Tambahnya, anggota polis juga mengalami kecederaan ringan di jarinya akibat pergelutan itu. HM

(VIDEO] Deepavali punya pasal, sanggup pandu lawan arus di Lebuhraya PLUS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker