Perjuangan belum selesai, PEMBELA desak tubuh RCI! Kembalikan hak tanah diceroboh

Ayuh negeri lain bangkit, kembalikan tanah dirampas di seluruh negara

 

KUANTAN, 8 Jamadilawal 1442H, Rabu – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat kes pencerobohan tanah bagi tujuan tanaman Musang King di Raub, Pahang.

Ia tujuan menyiasat kes sehingga ke akar umbi bagi mencari pihak terlibat dalam kegiatan itu sehingga menyebabkan kerajaan negeri kehilangan pendapatan ratusan juta ringgit.

Selain itu, Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat menggesa, kerajaan negeri mengambil tindakan lanjut terhadap ratusan pekebun haram yang menceroboh 4,400 tanah di negeri itu.  



“Kita masih belum boleh bergembira sepenuhnya. Kerana mereka (pihak pekebun) mungkin mahu membuat rayuan. Kita nak RCI tetap ditubuhkan. Sebab isunya, tindakan secara tegas belum berlaku kepada penceroboh. 

“Ketika ini mereka cuma failkan untuk dibuat semakan, belum kerajaan ambil tindakan untuk mendakwa. Mereka belum didenda waima RM1 atau sehari penjara sekali pun. 

“Jadi ianya belum menjawab perasaan rakyat terutama veteran askar, mereka ini sepatutnya mendapat hak ini,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Katanya, beliau mahu mendengar susulan bahawa kerajaan mengambil tindakan pendakwaan terhadap mereka.



“Hakim pun dah tegur tadi berkenaan kelemahan pendakwaan undang-undang pada agensi-agensi penguatkuasaan yang ada. Jadi tolonglah penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG), jabatan perhutanan dan sebagainya kena bertegas sebab hakim dah tegur,” katanya.

Menyentuh mengenai kewajaran pengagihan tanah pula, Ustaz Masridzi menggesa supaya tanah yang diceroboh diagihkan kepada golongan-golongan yang lebih layak seperti veteran askar, polis atau rakyat Pahang sendiri.

“Mereka ini lebih layak kerana pengorbanan dan jasa mereka. Kembalikan semula hak ini kepada kerajaan negeri dan tuanku. Saya juga menyeru pada negeri lain yang tanahnya juga diceroboh, kita boleh menang kalau kita berani. 

“Kita boleh cabar mereka boleh dilawan di mahkamah. Keputusan hari ini adalah bukti dan pemberi semangat kepada kita. Ayuh negeri-negeri lain bangkit, kembalikan tanah yang dirampas di seluruh negara,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker