Pembangkang sepatutnya cari pengganti Anwar – Nor Hizwan



Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad sepatutnya melemparkan tuduhan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menggugat ketenteraman dan proses pemulihan ekonomi apabila mendakwa mempunyai sokongan mencukupi untuk menggulingkan kerajaan.

Tindakan sebegini menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad merupakan ancaman terhadap kestabilan negara khususnya ekonomi.

“Suasana ekonomi dan politik negara adalah tanggungjawab bersama manakala tuduhan Khalid Samad patut dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering kali menggugat ketenteraman dan proses pemulihan ekonomi negara melalui kenyataan-kenyataan menggemparkan tentang dakwaan mempunyai jumlah Ahli Parlimen mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan PN. Inilah ancaman yang mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi negara.

“Saya maklum bahawa terdapat usaha oleh Ketua Pembangkang untuk menambah sokongan kerana sedar jumlah 108 yang ada kini jauh dari mencukupi.

“Oleh itu tindakan memancing Ahli Parlimen dari sebelah pihak yang disebut sebagai khianat ini telah membuktikan bahawa pembangkang hanya melaungkan soal khianat untuk didendangkan kepada penyokong mereka. Jika mereka berjaya menarik sokongan dari Ahli Parlimen lain, skripnya akan berbeza,” katanya menerusi kenyataan hari ini.




Konsisten membawa isu sokongan berbanding isu rakyat, beliau menyeru agar pembangkang menamakan ketua yang baharu untuk menggantikan Anwar.

“Mungkin tiba masanya untuk pembangkang menamakan Ketua Pembangkang yang baru dan lebih berwibawa dan karismatik untuk menggantikan Anwar Ibrahim,” katanya.

Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) katanya, kerajaan berkenaan terbukti menerima sokongan yang sah untuk mentadbir apatah lagi apabila majoriti Ahli Parlimen bersetuju dengan Belanjawan 2021.

Justeru selain mahu disifatkan sengaja menghasut minda rakyat apabila menyebut PN membawa politik khianat, Khalid Samad juga dianggap telah menderhaka Yang DiPertuan Agong (YDPA) apabila berkata demikian, kerana kerajaan yang mentadbir pada hari ini telah diiktiraf.

“Faktanya, kerajaan Perikatan Nasional yang ditunjangi oleh YAB Tan Sri Muhyiddin adalah kerajaan yang sah dan telah melalui proses mengikut perlembagaan. Perbuatan itu seolah-oleh tidak mengiktiraf kerajaan pada hari ini adalah seperti menderhaka kepada Yang DiPertuan Agong.




“Pada waktu bacaan pertama dilakukan, hanya 13 orang Ahli Parlimen Pembangkang bangun untuk mendesak undi belah bahagi. Mereka telah gagal teruk. Begitu juga siri-siri pengundian parlimen seterusnya. Kesemuanya dimenangi oleh blok kerajaan. Ini sudah cukup meyakinkan bahawa Perikatan Nasional adalah kerajaan yang mempunyai majoriti dan sah dalam mentadbir negara,”tambahnya.

Dalam pada itu, Nor Hizwan yakin Perikatan Nasional mampu mengendalikan cabaran yang dibawa oleh parti pembangkang kerana kerajaan kini terdiri daripada kesatuan daripada pelbagai parti politik yang saling bekerjasama.

“Sementara Anwar Ibrahim masih mengejar bayang-bayang, Perikatan Nasional akan terus mengemudi negara dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai matlamat utama,” tambah beliau.

Semalam, Khalid berkata, parti-parti politik pembangkang perlu hentikan segala urusan dengan golongan pembawa atau pendokong politik khianat.

Jelasnya, keinginan membawa kumpulan daripada PN akan menyebabkan pembangkang berpecah. MG




Bekas bos Haziq cari pengganti ada ‘6 pack’



Leave a Reply

Your email address will not be published.