Bekas bos Haziq cari pengganti ada ‘6 pack’

Bekas majikan Haziq Aziz yang ditamatkan khidmatnya sebagai setiausaha sulit kanan selepas tersebarnya video seks gay melibatkan Mohamed Azmin Ali, sedang meneliti calon pengganti yang mempunyai beberapa kriteria, termasuk memiliki badan “6 pack”.

Sinar Harian melaporkan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata lebih 20 calon memohon jawatan itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan, termasuk wartawan senior daripada media cetak dan elektronik.

“Buat masa sekarang ini saya akan bekerjasama dengan bahagian sumber manusia untuk lihat kelebihan calon-calon ini. Lingkungan umur mereka pun ada yang mencecah 50-an. Apa yang penting, dia memiliki badan 6 pack,” katanya memetik laporan itu.

Istilah “6 pack” merujuk individu yang memiliki perut dengan ketulan otot yang kekar.

Pada 20 Jun lalu, Haziq ditamatkan perkhidmatannya selepas mengaku beliau adalah salah seorang daripada lelaki terbabit dalam video seks sejenis yang tersebar di media sosial.

Beliau juga mendakwa Azmin sebagai individu kedua dalam video tersebut.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bagaimanapun menafikan dengan keras dakwaan tersebut mengatakan ia adalah sebahagian daripada usaha membunuh kerjaya politiknya.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata beliau lebih berhati-hati dalam memilih calon yang sesuai bagi memastikan calon tersebut benar-benar layak menggalas tugas itu.

“Pengalaman lalu banyak mengajar kita, jadi saya harap pengganti Haziq nanti adalah seorang yang bertanggungjawab dan dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik. Dulu pun kita hati-hati juga untuk memilih beliau. Tapi manalah kita tahu apa yang akan berlaku, sesuatu tidak dijangka,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker