Isu bahagian jualan babi : Di parlimen pun Tan tak mahu bercakap walau duduk meja sebelah
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Santhara Kumar mendakwa Anggota Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew tiada inisiatif untuk berjumpa dengannya dan berbincang berhubung masalah setempat.
Dia berkata demikian selepas Tan mendakwa kerja-kerja penambahbaikan pasar di Pasar Jalan Genting Klang telah mengabaikan bahagian jualan daging babi.
“Malangnya anggota parlimen wangsa maju tiada inisiatif berjumpa dengan saya dan berbincang masalah warga setempat. Di Parlimen pun, dia tidak mahu bercakap walaupun duduk meja sebelah.
“Jangan salahkan orang lain, saya pernah jadi wakil rakyat biasa, maka kita perlu mesra dan berkawan dengan semua ahli parlimen pentadbiran kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Semalam, Tan menuntut penjelasan Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa selepas mendakwa kerja-kerja penambahbaikan pasar berkenaan mengabaikan bahagian jualan daging babi.
“Sekarang pasar ini sudah ada bumbung baru, dinding dicat baru, siling dan lampu rosak pun sudah ditukar.
“Tetapi bahagian babi masih dalam keadaan menyedihkan, dengan atap dan talang bocor, siling pecah berdebu dan penuh dengan sarang labah-labah, dan banyak lampu siling tidak berfungsi,” kata Tan.
Sementara itu, Santhara turut menjelaskan setakat ini masih tiada aduan atau cadangan yang diterima dari pihak pejabat Wangsa Maju berhubung perkara tersebut.
“Perkara yang dibawa oleh dia (Tan), saya telah rujuk kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk ulasan dan dapatkan status sebenar. Kebiasannya kerja baik pulih dilakukan atas permintaan persatuan, penjaja ataupun ahli parlimen mewakili mereka.
“Kita perlu semak semula, jika benar tuduhan, benarkah ada permohonan? Atau ada aduan dari mereka atau ahli parlimen.
“Saya telah semak dengan pejabat saya, belum ada (aduan). Anggota Parlimen dari Bukit Bintang, Seputeh, Shah Alam, Titiwangsa, Putrajaya dan Bandar Tun Razak ada hubungi saya. Saya juga cuba sedaya upaya untuk selesaikan masalah, mahupun cadangan yang dibawa.
“Anggota Parlimen Wangsa Maju belum lagi. Namun saya yakin DBKL akan kaji aduan ini dan akan ambil tindakan sewajarnya,” tambahnya. Mk
You must be logged in to post a comment.