Bayar kami untuk air Sg Muda, bukan beri sumbangan, MB Kedah beritahu P Pinang

Kerajaan Kedah mahu Pulau Pinang membayar caj air mentah tetap, bukannya memberi sumbangan ehsan atas penggunaan sumber air mentah Sungai Muda yang mengalir ke negeri itu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri mahu menetapkan caj 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah itu, namun harga itu boleh dirundingkan.

“Kita nak bayaran. Bukan sumbangan. (Kalau) sumbangan, ikut suka bayar berapa duit pun, 4 kupang (40 sen) 5 kupang (50 sen). Sumbangan ini juga kalau nak bagi boleh, tak mahu bagi pun boleh,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini menggesa kerajaan Pulau Pinang memberi sumbangan kewangan atas pengorbanan Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda.

Sanusi menganggap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebelum ini yang menyatakan kerajaan Pulau Pinang sedia berunding mengenai isu pampasan air sebagai langkah positif bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

Sanusi sebelum ini menggesa kerajaan persekutuan campurtangan untuk menjayakan rundingan penyelesaian isu bayaran sumber air mentah yang dituntut oleh Kedah daripada Pulau Pinang.

Sanusi berkata, adalah tidak wajar Kedah terpaksa berkorban bagi mengekalkan tanah hutan yang luas dan menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran.

Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang sepatutnya membayar RM50 juta setahun kepada Kedah untuk penggunaan air mentah Sungai Muda yang mengalir ke negeri itu. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker