PN Melaka sekali lagi kecewakan rakyat
Beri talian hayat pada MCA yang sudah uzur di mata orang Cina
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Melaka sekali lagi mengecewakan rakyat apabila memilih Timbalan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Wira Koh Nai Kwong untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.
Sedangkan umum mengetahui bahawa MCA tidak menang sebarang kerusi di Melaka, bahkan wakil rakyat Cina di negeri itu majoritinya dari parti tamak haloba DAP.
Koh adalah pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara hari ini.
Kesal dengan pelantikan berkenaan, Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda ISMA, Mohd Soufi Anual berkata, MCA tetap diberi ruang meskipun kalah dalam mana-mana pilihan raya.
“Lagi berita menyedihkan dari kem kerajaan PN negeri Melaka. Lama dah saya perhati sejak PN gantikan PH pada awal tahun.
“Apa taknya, isu nama Bukit Melaka yang nak dikembalikan berbanding nama sekarang (Bukit St Paul) tak selesai sampai sudah. Penakut, bacul. Sebabnya MCA Melaka berbunyi ketika itu.
“MCA tak setuju kembalikan nama Bukit Melaka. Kononnya nama Bukit St Paul telah lama digunakan dan dikenali ramai. Apa mereka ingat nama Melaka tak masyhur dan terkenal seantero dunia ke?,” bidasnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengimbau kembali tindakan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berhubung pelaksanaan Jawi sebaik sahaja memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.
“Masih segar lagi di ingatan saya, sebaik sahaja memenangi kerusi ihsan Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng telah membantai tulisan Jawi!
“Itu berlaku setelah Parlimen Tanjung Piai yang majoritinya penduduk Melayu Islam memenangkan dia walaupun dia MCA, bukan Melayu pun!
“Kini, diberi lagi talian hayat kepada MCA. Walhal MCA telah azab, uzur dan mati di mata orang Cina. Mereka solid menyokong DAP. Tetapi, acap kali pemimpin politik Melayu yang bagi kuasa kepada MCA. MCA bagi makan apa kepada pemimpin Melayu ya?,” soalnya sinis.