Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS dalam persekitaran harga minyak mentah merosot dan sekatan pergerakan berikutan jenis COVID-19 baharu yang cepat merebak di United Kingdom telah mewujudkan kebimbangan, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.0490/0530 berbanding dolar AS daripada 4.0375/0415 semasa ditutup pada Jumaat.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent susut 4.75 peratus kepada AS$49.78 setong dan minyak mentah West Texas Intermediate merosot 4.79 peratus kepada AS$46.75 setong.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata situasi virus dan penutupan sempadan yang menyebabkan keadaan tidak menentu dijangka menjejaskan sentimen risiko pada minggu ini.

Gabungan kadar yang rendah untuk jangka panjang dan jangkaan rangsangan AS tidak memberikan sebarang sokongan kepada minat untuk mengambil risiko, yang terbukti dapat mendorong dolar AS lebih kukuh.

“Bagaimanapun, rangsangan AS tidak dapat mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pelabur terhadap jenis virus baharu ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding semua mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0266/0305 daripada 3.0389/0428 pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.9288/9353 daripada 4.9451/9512 dan naik berbanding pound kepada 5.3520/3589 daripada 5.4474/4540 sebelum ini.

Ringgit, bagaimanapun, susut berbanding yen Jepun kepada 3.9027/9076 daripada 3.8983/8029 semasa ditutup pada Jumaat.

– BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker