Aktiviti pengambilan untung berterusan seret pasaran saham ditutup rendah

Bursa Malaysia Berhad

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susulan pelabur terus menyusun semula pelaburan masing-masing berikutan kebimbangan terhadap ekonomi semakin meningkat.

Pada penutupan dagangan, indeks utama, FBM KLCI susut 4.6 mata kepada 1,647.89 daripada 1,652.49 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Barometer tempatan itu dibuka 3.64 mata lebih rendah kepada 1,648.85 sebelum bergerak di antara 1,641.92 dengan 1,657.87 sepanjang dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran secara keseluruhan adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 728 berbanding 426 manakala 434 kaunter tidak berubah, 551 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 8.08 bilion unit bernilai RM3.66 bilion.

Aliran menurun telah mempengaruhi terutama saham berharga rendah khususnya Pasaran ACE yang terus menjejaki prestasi ekuiti serantau dan global.

Penganalisis berkata tekanan penurunan ditunjukkan sejak Jumaat lalu berikutan indeks telah mengalami keadaan terlebih beli dan gagal melepasi paras rintangan ekoran prospek ekonomi yang suram, yang mungkin kekal sehingga akhir tahun ini.

“Pandemik global COVID-19 masih menjejaskan ekuiti global, terutama saham kitaran.

“Sementara itu, saham teknologi dan penjagaan kesihatan akan menyaksikan aliran meningkat buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata bagi penanda aras teknikal pasaran tempatan, paras rintangan akan berada pada 1,660 manakala paras sokongan pada 1,635.

Mengenai prestasi esok, indeks berkenaan dijangka sangat dipengaruhi oleh perkembangan berkaitan pakej rangsangan ekonomi Amerika Syarikat bernilai AS$900 bilion, yang akan diundi oleh Senat hari ini.

“Pakej rangsangan itu akan berperanan sebagai pemangkin global, dan sekiranya undian itu gagal untuk meluluskan pakej itu, saham global akan menerima impak langsung,” katanya.

Komponen KLCI hari ini mengalami dagangan turun naik namun tidak begitu ketara, dengan Axiata muncul sebagai saham yang mengalami penurunan terbesar apabila susut 13 sen kepada RM3.74 manakala Nestle merosot RM3.50 kepada RM137.40, Hong Leong kurang 42 sen kepada RM18.14 dan Genting menguncup 10 sen kepada RM4.55.

Bagi saham aktif, Sapura Energy tidak berubah pada 12.5 sen, Iris naik 2.5 sen kepada 39 sen dan AT Systemization turun setengah sen kepada 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 41.67 mata pada 11,848.80, Indeks FBMT 100 susut 144.15 mata kepada 11,650.05, Indeks FBM Emas Syariah kurang 47.93 mata kepada 13,286.50, FBM 70 merosot 149.24 mata kepada 15,218.60 dan FBM ACE menambah 30.80 mata kepada 10,478.40.

Sementara itu, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.73 mata kepada 174.96, Indeks Perladangan naik 8.39 mata kepada 7,358.19 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 41.42 mata kepada 15,383.50.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 4.81 bilion saham bernilai RM2.74 bilion daripada 4.87 bilion saham bernilai RM3.77 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Jumlah dagangan waran sebanyak 585.12 juta unit bernilai RM104.35 juta berbanding 833.16 juta unit bernilai RM125.05 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 2.68 bilion saham bernilai RM815.02 juta daripada 2.35 bilion saham bernilai RM493.83 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 553.76 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (1.48 bilion), pembinaan (636.0 juta), teknologi (506.14 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (72.89 juta), hartanah (468.31 juta), perladangan (74.95 juta), REIT (8.39 juta), dana tertutup (23,800), tenaga (716.98 juta), penjagaan kesihatan (45.67 juta), telekomunikasi dan media (40.36 juta), pengangkutan dan logistik (105.13 juta) serta utiliti (105.36 juta). – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker