Yadim bantah penganjuran Grand Final Gala Night

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah penganjuran Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 yang dijadual berlangsung pada 2 Januari depan di sebuah hotel di ibu negara.

Yang Dipertua Yadim Nasrudin Hassan berkata, penganjuran program itu akan memberi isyarat yang salah seolah-olah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin merestui ACARA seperti itu untuk rakyat.

“Sedangkan umum mengetahui sikap kerajaan terutamanya YAB Perdana Menteri yang amat serius dalam usaha membanteras segala aktiviti yang tidak menyumbang ke arah pembinaan akhlak dan adab yang terpuji,” kata Nasruddin dalam satu kenyataan.

Menurutnya, penganjuran program seperti itu tidak pernah dibenarkan oleh mana-mana agama terutamanya Islam.

Ini kerana program tersebut lebih bersifat eksploitasi kepada wanita dan bersifat penyuburan kepada budaya hedonistik oleh tamadun-tamadun yang telah pupus sebelum ini.

“Sekiranya ingin dijustifikasikan penganjuran ini dengan penggalakkan aktiviti ekonomi dan sosial, pandangan ini adalah terlalu dangkal.

“Kerana kesan limpahan ekonomi daripada pengajuran seperti ini terlalu marginal sedangkan nilai murni sosial kita di Malaysia yang sentiasa dibanggakan dengan unsur kesopanan dan kesantunan akan semakin terhakis,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu.

Nasruddin juga berkata, pengajuran acara itu tidak sepatutnya dibenarkan dalam suasana menghadapi pandemik Covid-19.

Katanya, sebarang bentuk perhimpunan yang tidak mendesak harus dielakkan kerana risiko penularan akan tetap ada walaupun pihak pengajur memberi jaminan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau turut menambah, keutamaan majoriti rakyat ketika ini adalah usaha mempergiatkan semula ekonomi demi kelangsungan hidup dan bukannya penganjuran program yang dikatakan sia-sia.

Yadim akan menghantar memo bantahan secara rasmi kepada penganjur dan juga pihak berkuasa tempatan pada Isnin ini sebagai bukti komitmen badan dakwah tersebut menentang sebarang penganjuran program yang tidak bermanfaat.

“Yadim meyakini bahawa majoriti rakyat tanpa mengira sempadan agama dan bangsa tidak merestui program yang bukan sahaja tiada membawa manfaat kepada rakyat terbanyak bahkan mengundang kemurkaan Allah SWT,” katanya.-SM

https://mykmu.net/2017/09/19/dap-marah-dbkl-menolak-permit-penganjuran-pesta-arak/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker