Jenazah Tun Rahah tiba di Masjid Negara
KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah tiba di Masjid Negara, di sini, untuk dikebumikan.
Konvoi yang disertai 32 kenderaan ahli keluarga terdekat, termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor tiba sekitar jam 2.15 petang.
Allahyarhamah yang juga balu Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara dan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan di Masjid Negara.
Ketibaan jenazah Allahyarhamah disambut puluhan orang ramai yang menanti di luar pagar Masjid Negara seawal jam 12.30 tengah hari tadi.
Agong, Permaisuri Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tun Rahah
Terdahulu, jenazah Allahyarhamah dimandikan dan diberi penghormatan terakhir oleh pemimpin negara dan orang awam, serta disembahyangkan di Masjid Ar-Rahah, sebelum dibawa ke Masjid Negara.
Terdahulu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba ke Masjid Negara pada jam 1.56 tengah hari, disusuli ketibaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, pada jam 2.10 petang.
Allahyarham dijadualkan akan disembahyangkan sekali lagi di Masjid Negara, sebelum dikebumikan.