Awan mendung, gerimis iringi ‘perjalanan terakhir’ Tun Rahah

KUALA LUMPUR: Awan mendung bersama gerimis mengiringi jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah ketika dibawa keluar dari Masjid Ar-Rahah, di sini untuk Istiadat Pengebumian Negara.

Ketika van membawa jenazah balu Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu keluar kira-kira jam 2 petang tadi, rata-rata hadirin yang setia menanti di luar masjid, di kiri dan kanan jalan, tidak dapat menahan sebak.

Masing-masing berwajah sugul dan berulang kali menyeka air mata, mengenangkan jasa dan pengorbanan Allahyarhamah ketika hayatnya.

Konvoi van jenazah yang turut disertai 32 kenderaan ahli keluarga terdekat, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bergerak ke Lingkaran Makam Pahlawan dekat Masjid Negara, bagi urusan pengebumian.

 

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ahli keluarganya memberi penghormatan terakhir kepada ibunya Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah. - Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ahli keluarganya memberi penghormatan terakhir kepada ibunya Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah. – Foto BERNAMA

 

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah dibawa dari kediamannya di Jalan Eaton di ibu negara dan tiba di Masjid Ar-Rahah pada jam 7.50 pagi untuk dimandikan dan dikafan oleh petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Orang ramai dibenarkan masuk secara berperingkat untuk memberikan penghormatan terakhir mulai jam 9 pagi selepas mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera dan diambil suhu badan serta diberikan kad nombor giliran.

Langkah itu bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini.

Hampir lima jam diperuntukkan untuk orang ramai menziarah sebelum jenazah disembahyangkan selepas Zuhur. Solat sunat jenazah yang disertai ahli keluarga terdekat serta kenamaan, diimamkan Naqib Masjid Ar-Rahah, Mohd Khairul Hafiz.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker