Azeez mohon batal 12 pertuduhan rasuah, ubah wang haram lebih RM140 juta

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim memohon untuk membatalkan 12 pertuduhan menerima rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abdul Azeez berkata, pihaknya memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas (11 Dis).

“Alasan permohonan untuk membatalkan pertuduhan dikemukakan dalam afidavit tertuduh pertama (Azeez).

“Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes berhubung permohonan itu pada 23 Dis ini, jadi kami mohon perbicaraan kes hari ini ditangguhkan,” katanya pada prosiding perbicaraan kes Azeez dan abangnya, Abdul Latif (tertuduh kedua), 62, di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Timbalan Pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Adam Mohamed berkata, pihaknya menerima notis permohonan itu baru-baru ini dan tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini.

Azura berkata, mahkamah tidak menghalang mana-mana tertuduh dalam kes itu untuk membuat sebarang permohonan, bagaimanapun perbicaraan diteruskan kerana tiada perintah daripada mahkamah lain untuk menggantung prosiding itu.

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan saksi kelima pendakwaan, pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Azrin Abdul Razak, daripada Ibu Pejabat JPJ Putrajaya membaca pernyataan saksinya.

Azrin, 46, memberitahu mahkamah beliau menerima permohonan daripada penguasa Bahagian Siasatan SPRM, Muhammad Afnan Abdullah, untuk mendapatkan maklumat kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih milik Azeez bagi membantu siasatan.

“Setelah pihak kami menerima surat ini, saya membuat semakan dan carian berkaitan nombor pendaftaran milik Azeez. Maklumat itu saya berikan kepada Afnan,” katanya.

Saksi itu juga mengesahkan cetakan maklumat JPJ bertajuk “Maklumat Terperinci Kenderaan dan Insurans” atas penama Abdul Azeez bertarikh 24 April 2019, semasa dirujuk Adam.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek berkenaan serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

Pertuduhan rasuah didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak pada 8 Dis, 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Latif dituduh bersubahat dengan Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Redzuan sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Perbicaraan di hadapan Azura bersambung 8 Feb tahun depan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker