Trump ‘dihalau’, penduduk enggan berjiran dengannya
SATU ketika dulu, namanya pernah disanjung, jutaan orang melaungkan namanya, bersorak apabila melihat kelibatnya.
Memimpin Amerika Syarikat, kuasa besar dunia, disokong pula jutaan rakyat membuatkan Presiden Donald Trump kadangkala (mungkin juga selalunya) lantang ketika berbicara.
Namun tanpa disangka, sebaik tewas kepada Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden pada November lepas, penduduk di kejiranan didiami Trump memilih untuk ‘menghalau’ bekas presiden itu.
Kalau di Malaysia, kita mungkin tidak kisah sekiranya bekas perdana menteri tinggal berhampiran, tapi di negara itu, nampaknya situasi adalah agak berbeza.
Portal Global News melaporkan beberapa penduduk di Palm Beach, Florida meminta pihak berkuasa di bandar itu melarang Trump untuk menetap di resort Mar-a-Lago setelah beliau dijangka meninggalkan pejabatnya di White House bulan depan.
Jiran Trump menghantar surat kepada pihak berkuasa tempatan untuk melarang pemimpin itu menjadikan Mar-a-Lago sebagai kediaman tetap.
Difahamkan, surat itu ditulis oleh seorang peguam dan ditujukan kepada Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat, menurut salinan yang diperoleh Washington Post.
Surat itu mendesak Palm Beach untuk memberitahu Trump bahawa dia mesti mencari kediaman tetap baharu dan meminta beliau melakukannya sekarang untuk “mengelakkan situasi memalukan” di kemudian hari.
Trump tidak akan lagi tinggal di White House selepas 20 Januari 2021 dan jirannya di Florida pula menghalang bekas presiden itu menetap di rumah singgah yang dilabelkan sebagai “Winter White House” itu.
Punca utama tindakan kejiranan itu dipercayai kerana Trump acap kali membawa kakitangan yang ramai, malah pesawat turut ikut sama, membuatkan jirannya berasa terganggu kerana bunyi bising.
Jiran di kawasan itu sudah bertahun lama membuat aduan dan kini mereka khuatir gangguan tersebut akan berterusan sekiranya Trump tinggal di sana secara tetap.
Surat itu muncul ketika Trump meniti saat sukar dalam hidupnya selepas tewas kepada Biden bulan lalu. Awani
Abang Jo enggan berjumpa dengan Anwar.