Saya belum beritahu isteri pemergian tiga anak

Ipoh: Bapa kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam belum mempunyai kekuatan untuk memberitahu isterinya mengenai kehilangan ketiga-tiga anak mereka.

Muhammad Alhafis Mohamad, 29, berkata isterinya Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, masih belum sedarkan diri dan tidak mengetahui apa yang berlaku.

“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu memberitahu tentang kematian tiga anak kepada isteri, ketika ini.

“Dalam keadaan Aimi macam itu (tidak sedarkan diri dan sedang dirawat) buat masa ini saya tak nak beritahu apa-apa dahulu..



“Bagaimanapun, saya tetap akan beritahu… tunggu masa yang sesuai untuk beritahu isteri tentang keadaan (kematian) anak-anak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, hari ini.

Katanya, dia turut menafikan dakwaan mengatakan isterinya pulang ke Melaka atas urusan mahkamah bagi menyelesaikan urusan peribadi mereka, tetapi sebaliknya untuk bercuti.

“Bukan urusan mahkamah, dia memang bercuti dan berjumpa dengan saya atas urusan keluarga. Saya memang tinggal dan bekerja di Melaka,” katanya.

Sementara itu, abang kepada Nur Aimi, Muhd Jazli Aiman, 31, berkata selepas insiden terbabit, keluarganya bercadang untuk memohon supaya adiknya dipindahkan ke hospital di Melaka.



“Ada (rancangan bawa Aimi ke hospital di Melaka), itu kita tunggu dulu kata doktor pakar, sekarang ini kita mengharapkan (keadaan kesihatan) semuanya stabil,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah parah manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 12 bulan, maut di lokasi kejadian apabila Perodua Axia dinaiki mereka terbabas dan melanggar belakang treler di lorong kecemasan. HM

3 beradik maut, ibu parah kemalangan dekat Simpang Pulai



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker