Boss bernama Ffira Mikah

Jika, Islam yang diamalkan di negara ini tidak terlalu menitik-beratkan hukum-hakam atau aspek syariat, Ffira Mikah tidak dapat bernafas. Ffira, yang gila berpurdah sejak berhijrah itu memang gilakan fikah. Segalanya fikah. Macam Ffira pantang mendengar kisah ada Cina mengunjungi dobi dan meletakkan baju kotor ke dalam mesin basuh, serta-merta, misalnya, Ffira Mikah akan meruok dan meloncat. Ffira Mikah sayang fikah. Sebab fikah, Ffira Mikah dapat bernyawa. Macam kerana fikah lah Ffira itu hidup.

Justeru, apabila ada yang singgah menanyai saya mengenai Ffira Mikah, saya tidak dapat membayangkan lain melainkan fikah. Ffira Mikah sayang fikah. Sebab fikah, Ffira Mikah rasa dia tidak salah.

Akan tetapi Ffirah Mikah terlupa, atau mungkin jahil. Sebab Ffira ini asalnya dewi remaja, dia bukan ustazah pun. Jadi Ffira Mikah tak tahu sangat tentang Islam. Dalam Islam kedudukan akhlak adalah amat penting. Akhlak disifatkan sebagai sebahagian dari ibadah. Ffira Mikah hanya bayangkan ibadah itu tonggeng bangun dalam sembahyang. Ffira Mikah tidak tahu yang ibadah adalah penyembahan kepada Allah.

Saya beritahu kepada mereka, Ffira Mikah mesti tahu betapa akhlak ialah apabila seseorang menjadikan segala perbuatannya bawah takluk Allah dan keredhaan-Nya, di mana Allah menjadi pokok segala kegiatan dan tumpuan.

Ffira Mikah mesti maklum, oleh kerana akhlak adalah sebahagian dari “lillah” atau untuk Allah, maka akhlak juga berhubungan dengan aspek-aspek ibadah yang diketahui umum.

Jadi saya jelaskan kepada mereka yang bertanyakan perihal Ffira Mikah, bahawa takrifan akhlak yang saya jejerkan di atas itu berhubung rapat dengan ayat 162 surah Al-An’aam yang terjemahannya bermaksud:

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.’”

Jadi saya meneruskan, Ffira Mikah mesti faham bahawa kitab suci Al-Quran menegaskan yang penyembahan kepada Allah harus berlaku dalam keadaan apa pun. Tuhan ialah Allah. Bukan Dewata Bakar Sampah. Bukan pula Ratu Grik. Jadi membesarkan Ffira Mikah ini satu ajaran yang bedebah.

Sebab yang boleh dibesarkan bukan bosku atau bosmu atau Ffira Mikah. Hanya Allah Maha Besar, ini difirmankan Allah pada ayat 44 surah Al-Israa’, terjemahan maksudnya:

“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Allah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”

Persoalan akhlak dalam Islam amat luas dan bercabang kepada banyak persoalan lain. Al-Quran menghubungkan keimanan dengan akhlak yang baik. Dalam masa yang sama akhlak yang tercela dihubungkan dengan kekafiran. Tidak ada akhlak yang baik misalnya. Atau dia itu perasan dia berakhlak baik padahal dia hanya fikah melulu.

Al-Quran turut menanggapi insan tidak berakhlak sebagai tidak berhikmah. Tak ada yang hikmah bila tergila-gila besar dan rasa diri wajar disembah. Demikianlah serongnya Ffira Mikah. Ini bermakna konsep akhlak amat rapat dengan keimanan. Sementara itu perbuatan tercela dan tidak berakhlak dirujuk sebagai kekafiran.

Jadi, yang paling tunjang ialah akhlak. Bukan fikah. Ffira Mikah silap bila mendahulukan fikah. Ffira Mikah mesti tahu bahawa akhlak malah mengatasi fikah.

Kesimpulannya akhlak yang mulia amat dituntut dalam Islam. Malah, baginda Rasulullah dihadirkan untuk memperbaiki akhlak manusia. Allah berfirman pada ayat 21 surah Al-Ahzaab, yang terjemahannya bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Juga pada ayat 4 surah Al-Qalam disebut, maksudnya, “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Jadi, Ffira Mikah kesasar bila menyangka dirinya bos maka dirinya aula atau afdal. Dua ayat Al-Quran tersebut menjadi dalil Nabi Muhammad dianggap sebagai contoh, pedoman, dan misal untuk kesempurnaan akhlak.

Gejala Ffira Mikah perasan bagus kerana menguasai fikah adalah gejala lupa akhlak. Sangat lupa akan akhlak sehingga melampau dan keterlaluan menuhankan fikah. Oleh tenggelam dengan fikah, Ffira Mikah dipuja. Seolah-olah segala wujud kehidupan adalah milik Ffira Mikah. Maka bos seumpama Ffira Mikah ‘ditauhidkan’.

Padahal orang seperti Ffira Mikah tiada tempat dalam rak kenangan kita. Ffira Mikah duduk dalam pembakaran sampah. Asapnya naik jadi jerubu menyesak dada. Hatta menjadi debu pun Ffira Mikah itu bedebah.

Bos seumpama Ffira Mikah berleluasa kerana yang jadi pujaan ialah fikah-syariat, dan bukannya akhlak-ihsan. Itu sebab kita akan menemukan manusia seperti Ffirah Mikah yang birah. Ffirah Mikah yang tidak tahu malu. Gejala Ffira Mikah adalah gejala rosak akhlak. Gejala tidak tahu malu. Gejala birah. Ffira Mikah adalah perangai keladi. Sejenis masalah miang.

Itu sebab resmi birah dikaitkan dengan tidak reti malu oleh orang Melayu. Dalam pantun Melayu ada mengungkapkan:

Baju saya lupa dijahit
Daun birah selebar talam
Malu saya bukan sedikit
Sudah pecah serata alam.

Makanya perangai birah, perangai Ffira Mikah tadi, adalah perangai terapung fikah karamnya akhlak. Itu sebab-musabab Ffira Mikah galak semacam dan tidak tahu malu. Dalam konsep akhlak Islam, perkataan dan ungkapan yang memalukan tidak dapat diterima. Dalam hal ini, ulama terkenal Sayyid Sabiq dalam Islam Kita yang saya kutip daripada terjemahan Afif Muhammad, ada menyebutkan sebuah hadis riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi, berbunyi begini:

“Rasulullah bersabda, ‘Rasa malu adalah sebahagian dari iman, dan iman ada dalam syurga. Sedang perkataan yang kotor adalah sebahagian dari kekasaran, dan kekasaran ada dalam neraka’.”

Ketika mengulas Hadis ini, Sayyid Sabiq seterusnya menyatakan, “perkataan yang kotor, lancang, dan keji termasuk kekasaran, iaitu kekesatan hati, yang membawa pelakunya ke dalam neraka.”

Hari ini sosok seperti Ffira Mikah yang rasa semuanya boleh selesai dengan fikah dan tidak perlu pertimbangan akhlak sedang mengerumun kuasa. Ia adalah mengenai maksiat. Jika akhlak mengatasi fikah, Ffira Mikah tidak akan menuntut agar dirinya disembah, dibesarkan, dan dipuja.

Ffira Mikah jadi begitu kerana dia tidak tahu malu. Gejala tidak tahu malu adalah gejala tenggelamnya akhlak. Dalam hal ini akhlak sudah tidak mengatasi fikah.

Gejala fikah dilebihkan dan akhlak jatuh tempat kedua atau ketiga ini mengakibatkan nafsu dalam diri Ffira Mikah berkuasa, sehingga agam dan membesar lantas menuntut dirinya disembah.

Sebagai sumber rujukan terbesar umat Islam, kitab suci Al-Quran memerintahkan seseorang Islam melawan keinginan nafsu rendahnya. Antara ayat-ayat yang dapat dihubungkan dengan hujah ini ialah pertama, ayat 40-41, surah An-Naazi’aat yang terjemahannya bermaksud:

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu – maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.”

Kedua, ayat 23 surah Al-Jaathiyah, terjemahan maksudnya:

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya?

“Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”

Ketiga, ayat 53 surah Yusuf, terjemahan ertinya:

“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Nafsu akan menuntut supaya dirinya sebagai manusia dimuliakan. Padahal kita sudah tahu, Ffira Mikah tidak patut meminta dirinya dimuliakan. Islam juga menekankan persoalan kemuliaan diri manusia. Allah berfirman pada ayat 8 surah Al-Munaafiquun, terjemahan maksudnya:

“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Dalam erti kata lain, Islam mengajarkan akhlak yang baik dapat dicapai dengan menjaga kemuliaan diri sebagai khalifah Allah di muka bumi. Bukan dengan membesar atau membirah diri ala Ffira Mikah.

Apabila ada yang singgah di kamar kerja saya di Universiti Kebangsaan Malaysia dan bertanyakan perihal Ffira Mikah, dan menghubungkan bos mereka seperti itu, saya hanya berupaya memberitahu; ‘Duhai ramai di luar sana seperti Ffira Mikah, meminta manusia menuhankan dirinya. Maha Suci Allah hanya dia yang berhak dituhankan. Itu Ilah sebenar. Bukan Ffira Mikah. Bukan yang seumpamanya.’. FMT

Faisal Tehrani

Akhirnya papan tanda Mini Stadium Ffira Mikah diturunkan

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker