Tiada EXCO Cina, India di Perak: Harga perlu dibayar undi DAP?

MB tegaskan wakil kaum tersebut sudah ditempatkan di PBT

BANGI, 29 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Tiada lantikan wakil kaum Cina dan India dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad kini menjadi pertikaian segelintir netizen di media sosial.

Walhal, Saarani sudah menjelaskan bahawa wakil masyarakat Cina dan India sudah pun diletakkan dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan ia sedang berfungsi.

Salah seorang pengguna laman sosial Facebook, Peiie Choong berkata, barisan pentadbiran baharu ini yang sepatutnya bimbang kerana tiada wakil Cina mahupun India yang dilantik menjadi EXCO negeri.

“Ada tak ada, apa bezanya? Mereka yang patut risau? Terus-menerus hidup dalam dunia mereka sendiri, pentadbiran yang tidak terbuka yang akhirnya mampu berkembang dalam ruang lingkup yang kecil, tidak akan maju, membunuh diri sendiri sahaja,” katanya dalam ruangan komen hantaran di Sin Chew Daily, semalam.



Chen Ted Choi pula menganggap, situasi itu bukan sesuatu yang baharu dan sudah pernah terjadi di mana dia menganggap kaumnya ditindas.

“Ada tiada orang Cina menjadi EXCO tidak mengapa, perkara dah lama dah biasa dah. Orang Cina adalah kaum yang kuat bekerja dan rajin, setiap hari melalui hari-hari yang sukar. 

“Manusia menindas tapi takdir tidak menindas, perhatikan si ketam dengan tenang, berapa lamakah ia dapat berjalan lurus!,” katanya.



Sementara itu, pengguna bernama Hiew Sc pula berkata, situasi ini memberi petunjuk apa yang perlu mereka lakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Semua orang Cina dan India tahu apa mereka patut buat pada PRU15,” katanya.

Manakala Poh Chiong Lee pula menyalahkan parti DAP atas ketiadaan lantikan wakil Cina dalam barisan EXCO Perak kali ini. 

“Ini adalah harga yang perlu dibayar oleh orang Cina kerana mengundi DAP,” katanya.



Pucuk pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak kini beralih ke UMNO selepas pengunduran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang tewas dalam undi percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) awal bulan ini.

Susulan itu, pada 10 Disember, Saarani yang juga Ketua UMNO Perak, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar.

Hari ini, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan sebagai EXCO di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, pelantikan kelima-lima ADUN itu mendapat perkenan daripada baginda dan majlis berlangsung pada jam 5 petang dalam suasana ringkas.



ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dari Bersatu, ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota) masing-masing mewakili UMNO antara lima ADUN yang menerima lantikan sebagai EXCO.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker