Kenapa Ku Li tak serik-serik dengan Mahathir
Veteran Umno menyatakan rasa hairan dan terkejut melihat Tengku Razaleig Hamzah “tidak serik dipermainkan” bekas perdana menteri yang pernah ditentangnya dalam parti itu Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu sudah berkali-kali dipermainkan Mahathir sewaktu bersama Umno.
“Saya hairan dan terkejut apabila Ku Li (Tengku Razaleigh) masih membiarkan dirinya dipermainkan Mahathir.
“Ku Li sebelum ini ditipu Mahathir berkali-kali sejak zaman Hussein Onn lagi, bahkan Mahathir juga pernah menafikan haknya untuk menjadi timbalan perdana menteri.
“Begitu juga dalam pemilihan Umno, Ku Li juga pernah dipermain Mahathir. Saya kecewa dan tak faham kenapa dia tak serik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Kelmarin, Mahathir dan Tengku Razaleigh mengadakan sidang media bersama bagi mengumumkan kerjasama politik mereka dalam usaha menjatuhkan kerajaan PN.
Sidang media itu adalah yang pertama setelah Mahathir pernah berunding dengan Tengku Razaleigh mengenai kemungkinan kerjasama politik, sejak lebih sebulan lalu.
Dalam sidang media itu, tokoh politik disegani itu mengumumkan kesediaan untuk menerajui kepimpinan kerajaan jika ahli Parlimen menolak Belanjawan 2021.
Tengku Razaleigh ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li dalam sidang media itu menegaskan yang dia menolak belanjawan serta mempersoal keabsahan kerajaan PN.
Bagaimanapun Dewan Rakyat semalam meluluskan Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga dengan kelebih tiga undi iaitu, 111 ahli parlimen menyokong, manakala 108 menolak.
Dalam pada itu, ditanya sama ada kerjasama Ku Li dan Mahathir akan menarik sokongan ahli parlimen Umno menyebelahi pembangkang, Mustapha berkata, dia yakin yang ahli parlimen Gua Musang itu tidak mampu untuk berbuat demikian.
“Kerana dia bekerjasama dengan Mahathir, orang Umno tak boleh lupa apa yang Mahathir lakukan dan tak akan memaafkan Mahathir,” katanya lagi.
Ditanya keperluan Tengku Razaleigh dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti, Mustapha berkata dia melihat tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Tak perlu ambil tindakan disiplin kerana apa yang dia lakukan adalah atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen,” tambahnya. Mk
Jangan terpengaruh pelawaan Dr M sertai PPBM, Ku Li nasihat ahli Umno
You must be logged in to post a comment.