Gagal kempen tolak Belanjawan 2021 patut jadi ‘final call’ buat Anwar



Hentikan politik dendam, tikam belakang kerana rakyat sudah muak

Kegagalan kempen besar-besaran Pakatan Harapan (PH) menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam, seharusnya menjadi ‘final call’ buat ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak awal kejatuhan PH, Anwar – yang pernah dipenjara atas tuduhan jenayah liwat – telah beberapa kali mendakwa berjaya mengumpul Akuan Bersumpah (SD) dengan jumlah meyakinkan.

Malah, Presiden PKR itu juga memujuk media melaporkan dengan pelbagai retorik yang tidak berkesudahan, meskipun beliau memahami isi kandungan teguran Istana Negara sebelum ini.

Melihat ‘pergolakan’ yang berlaku, Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris berkata, PH sepatutnya sudah ‘move on’ ke arah memberi input terbaik selaku pihak yang berperanan sebagai check and balance di Dewan Rakyat, bukan menjerit melalak tidak keruan dengan gelagat seperti beruk dicucuk punggungnya.

“Perlakuan tidak senonoh ditontoni oleh lebih 30 juta rakyat yang sebahagian besarnya layak mengundi pada PRU15 nanti,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.




Terdahulu, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat semalam, selepas bacaan ketiga diputuskan menerusi undi belah bahagi bahagian menyaksikan 111 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.

Keputusan itu sekali gus mengakhiri khabar angin kononnya Perikatan Nasional bakal tumbang dan tubuhnya pemerintahan baharu.

Mengulas lanjut, Haji Rashidi berkata, kini adalah masa untuk semua pihak tanpa mengira parti dan bangsa bekerja bertungkus-lumus menjana semula ekonomi negara, yang bukan hanya terkesan akibat COVID-19, malah hasil kerugian dilakukan kerajaan 22 bulan sebelum ini.

“Kepada Ahli Parlimen PN yang masih diizinkan Allah untuk meneruskan pemerintahan, sedarilah bahawa peringatan Allah SWT itu semakin jelas, supaya anda sekalian tidak bercakaran sesama sendiri kerana berebut harta dan tamakkan kedudukan semata-mata.

“Tidak lupa bahawa teguran ini juga ditujukan kepada mereka yang merasakan dirinya muda dan berkemampuan,” katanya.




Justeru, beliau menggesa semua pihak supaya segera menghentikan persengketaan dan politik dendam, sanggup tikam belakang serta bersikap hipokrit kerana rakyat semakin muak.

“Sesungguhnya, sokongan majoriti kepada Perdana Menteri ke-8 dan Kabinetnya di Parlimen pada 15 Disember 2020 bagi kali yang ke-28 dalam siri pembentangan Belanjawan, merupakan testimoni kukuh bagi kerajaan Perikatan Nasional untuk terus maju meneruskan agenda Belanjawan 2021 dan menyelamatkan negara. 

“MUAFAKAT menyokong penuh sehingga ekonomi negara dipulihkan semula dalam tempoh baki pemerintahan yang sah sehingga PRU-15 diumumkan,” katanya. ISMA



Leave a Reply

Your email address will not be published.