PKPB Sabah: Sekeluarga kini dibenar duduk semeja di restoran
KOTA KINABALU: Bermula esok setiap keluarga yang berkunjung di mana-mana restoran di Sabah dibenarkan duduk semeja.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.
“Setelah mengambil kira saranan oleh jawatankuasa terbabit, kerajaan negeri bersetuju membenarkan pelanggan yang datang berkeluarga dari rumah yang sama duduk semeja.
“Ia juga perlu mengambil kira kapasiti meja di mana-mana restoran yang dikunjungi.
“Kelonggaran ini adalah bagi membolehkan mereka yang berkeluarga dapat makan bersama di restoran tanpa perlu duduk berasingan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Sementara itu, kerajaan negeri turut meluluskan kebenaran masuk ke Sabah tanpa perlu menjalani kuarantin wajib bagi rakyat negeri itu yang berada di Brunei.
“Pada hari ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah turut bersetuju memberi kelonggaran kepada rakyat negeri Sabah yang berada di negara Brunei masuk ke Sabah tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.
“Bagaimanapun individu tersebut adalah diwajibkan menjalani ujian saringan RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19.
“Keputusan ujian saringan tersebut mestilah dalam tempoh satu hingga tiga hari sebelum perjalanan masuk ke Sabah,” jelasnya.
Pada Selasa, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 260 kes dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 33,371 kes dengan tiga kes kematian dicatatkan di daerah Sandakan.
Daripada 260 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 139 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat di 15 daerah, 52 kes dari saringan kluster-kluster sedia ada, 34 kes dari saringan bergejala, lapan kes dari saringan komuniti dan 27 kes adalah dari lain-lain kategori.
You must be logged in to post a comment.