Daftar perniagaan percuma buat ibu tunggal dan belia B40
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperluaskan inisiatif pendaftaran perniagaan secara percuma buat golongan ibu tunggal dan belia di bawah kategori B40.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, inisiatif ini akan digerakkan di bawah agensi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Ujar beliau, pihak SSM akan merangka kaedah bersesuaian untuk memastikan golongan berkenaan memanfaatkan skim pendaftaran tersebut, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan khasnya ketika pandemik COVID-19.
“Usaha SSM memperluaskan inisiatif pendaftaran perniagaan percuma kepada golongan belia dan ibu tunggal B40 ini bakal mencetus minat berniaga dan menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan itu untuk menceburi bidang perniagaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin pada sidang perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menjelaskan lebih lanjut, kata beliau, inisiatif ini bukan sahaja membantu golongan itu menjana pendapatan sampingan, malah bertujuan untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam negara.
Dalam pada itu, Alexander turut memberitahu bahawa pihak KPDNHEP melalui SSM akan terus mengkaji serta melaksanakan langkah proaktif bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan.
Antara lain katanya, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar.
Oleh yang demikian, beliau menyarankan agar golongan-golongan berkenaan memanfaatkan skim sedia ada yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.
“Golongan OKU disaran untuk memanfaatkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) yang ditawarkan oleh SSM bagi mendaftar perniagaan baharu dan memperbaharui pendaftaran perniagaan secara percuma.
“Selain itu, belia dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta juga boleh mendaftar perniagaan mereka secara percuma melalui Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) yang diperkenalkan pada 1 Januari 2017,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, jelas beliau, lapan inisiatif sedang dilaksanakan KPDNHEP bagi menggerakkan sektor komuniti peniaga dan korporat yang terjejas bagi mengurangkan beban dan tekanan dihadapi sektor itu ketika ini.
“Antara inisiatif pertama SSM ialah melaksanakan tempoh moratorium 30 hari dari tarikh berakhir PKP untuk menyerahkan dokumen berkanun SSM di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 yang perlu diserah simpan kepada SSM bermula 18 Mac hingga 30 September 2020 di mana fi lewat serah simpan akan dikecualikan.
“Selain itu, SSM juga memberikan pengecualian fi lewat serah simpan bagi dokumen berkanun di bawah Akta Syarikat 2016 berikutan arahan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan mulai 9 November hingga 31 Disember 2020,” ujarnya dalam sidang yang sama. Awani