Pas guna logo sendiri pada PRU-15 – Nik Zawawi

Pas akan menggunakan logo parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun berada dalam Perikatan Nasional (PN).

Laman portal PNBBC melaporkan, Ketua Dewan Ulamak Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dipetik sebagai berkata, keputusan sepakat itu dicapai hasil perbincangan bersama dengan pucuk pimpinan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Setakat ini kita buat keputusan guna logo masing-masing berdasarkan sebab dan hujah sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Zawawi yang menjangkakan PRU-15 diadakan pada Mac tahun depan menjelaskan, Pas sudah bersedia dari semua aspek termasuk selesai pembahagian kerusi dengan UMNO berdasarkan persefahaman dalam Muafakat Nasional.

Malah, parti itu juga merasakan PRU-15 perlu segera diadakan bagi menyelesaikan semua kemelut yang melanda negara ketika ini.

“Pembahagian kerusi UMNO dan Pas sudah selesai. (Kira-kira) 80 peratus secara mudahnya (selesai). Tinggal UMNO dengan Bersatu sahaja ada konflik sikit,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh itu lagi, Pas dan UMNO tidak akan bertembung kerusi sama ada di Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Macam mana hendak bertembung sebab kita sudah ada perjanjian. Apabila peringkat pusat buat keputusan, kena patuh kerana watikah sudah ditandatangani. Kalau nak masuk (bertanding) juga bertandinglah bebas.” ujarnya.

Pada awal September lalu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan UMNO, Pas dan Bersatu memutuskan untuk mewujudkan jawatankuasa di anggotai lima individu bagi rundingan pembahagian kerusi.

Menurut Annuar, perkara itu diputuskan berikutan bagi memudahkan satu lawan satu dengan pembangkang atau Pakatan Harapan (PH).

Nik Zawawi yang juga Setiausaha Agung Majlis Syura Ulamak Pas, memaklumkan Pas akan menampilkan beberapa muka baharu dalam PRU-15.

Mengulas mengenai hubungan Bersatu dengan UMNO, Nik Zawawi berkata, Pas akan terus memainkan peranan sebagai “orang tengah” dan “pendamai” demi kelangsungan rakyat dan umat Islam.

“Kita kena berlapang dada dalam politik sebab sasaran kita untuk jangka masa panjang untuk umat Islam. (Jika) Pas dan UMNO sahaja, kita boleh dapat simple majoriti dan kalau Pas, UMNO dan Bersatu kita akan dua pertiga.

“Sebab itulah penting untuk campur tangan (pendamai) atau jadi orang tengah, atas tanggungjawab agama, atas tanggungjawab prinsip dan dasar yang didokong oleh Pas maka nak tak nak kita kena jadi pendamai.” Jelas beliau. MG

PRU-15: Bersatu akan guna logo Perikatan Nasional – Muhyiddin

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker