Najib minta rakyat gagalkan ramalan seram lonjakan kes Covid-19

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan spekulasi kononnya kelonggaran pergerakan rentas negeri disengajakan supaya kes Covid-19 melonjak supaya darurat dapat dipohon, sekali gus mengelakkan Pilihan Raya Umum adalah khabar angin berniat jahat.

Ini kerana, bekas Perdana Menteri itu percaya kerajaan tidak mungkin menggadaikan keselamatan dan nyawa rakyat hanya sebab mahu terus pegang kuasa.

”Sebaliknya, saya percaya sebab utama kenapa larangan rentas negeri dimansuhkan dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberi kerajaan ialah ekonomi negara tidak lagi mampu bertahan dan rakyat tidak lagi sanggup terima Perintah Kawalan Pergerakan Berssyarat (PKPB) dilanjutkan berkali-kali,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya.

Ahli Parlimen Pekan itu mengakui beliau pernah menyarankan kepada kerajaan supaya melaksanakan larangan rentas negeri sejurus selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ketika itu jumlah kes baharu Covid-19 seluruh negara kira-kira 400 kes dan hampir keseluruhannya adalah di Sabah manakala jumlah kes di Semenanjung hanya puluhan kes sahaja (kecuali kluster penjara Alor Setar).

Pada pandangannya jika sekatan rentas negeri dilakukan pada peringkat awal gelombang ketiga, Covid-19 tidak mudah menular ke seluruh semenanjung.

Bagaimanapun beliau kecewa saranannya semasa itu tidak disambut.

Kerajaan hanya larangkan rentas negeri sebulan kemudian pada 7 November apabila PKPB dilaksanakan di hampir semua negeri ketika jumlah kes baharu Covid-19 sudah naik kepada 1,100 kes sehari.

Dan sebulan kemudian, pada 7 Disember, kerajaan telah mansuhkan sekatan rentas negeri serta melonggarkan lagi banyak SOP walaupun jumlah kes sehari sudah naik ke 1,600 kes pada hari itu dan enam negeri mencatat lebih 100 kes sehari.

Najib berkata, akibat kelonggaran ini, ada beberapa pakar luar negara yang mengeluarkan ramalan bahawa jumlah kes Covid-19 akan mencecah 180,000 kes pada akhir bulan Januari serta mencecah 5,000 kes sehari pada bulan Mac tahun depan.

”Saya juga perhatikan dalam komen-komen FB bahawa ramai sedang membuat spekulasi bahawa kerajaan PN sengaja longgarkan SOP supaya kes Covid naik mencanak supaya kerajaan boleh memohon darurat ataupun elak dari laksanakan PRU walaupun kerajaan tidak stabil sebab takut kalah.

”Namun, kuasa masih ada pada rakyat untuk menggagalkan ramalan seram pakar-pakar menjadi realiti.

”Jika rakyat sentiasa mengamalkan SOP, duduk di rumah jika tiada urusan penting dan jika kita yang berada dalam zon merah atau percaya kita telah terdedah kepada risiko dijangkit Covid-19 tidak melawat ke negeri-negeri lain atau balik kampung pada ketika ini, saya percaya ramalan pakar tidak akan tercapai dan penularan Covid dalam Malaysia boleh dikawal semula,” ujarnya. MG

IHME Projects 5,000 Daily Covid-19 Cases In Malaysia End Feb

Leave a Reply