Ketukan Misteri Merebak Ke Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Seorang wanita demam dipercayai terkejut apabila pintu rumahnya diketuk dengan kuat dalam kejadian gangguan misteri yang sebelum ini telah menyelubungi penduduk di beberapa lokasi di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Kejadian di Taman Serimbun di sini itu berlaku pada pukul 12.36 tengah malam semalam ketika Aimi Nadia Razak, 33, sedang tidur sebelum terjaga apabila terdengar bunyi ketukan kuat pada pintu depan dan belakang rumahnya.

Penduduk mengambil langkah untuk mempertingkatkan keselamatan selepas kejadian gangguan ketukan misteri berlaku di Taman Serimbun, Iskandar Puteri semalam.

Mengimbau semula kejadian tersebut, suami mangsa, Mohd. Syafiq Mohd. Bani, 32, berkata, sebelum itu dia baru sampai ke rumah selepas keluar minum bersama rakan di kawasan berdekatan.

Mohd. Syafiq yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Serimbun berkata, sebelum tidur dia bermain telefon bimbit sebelum dikejutkan de­ngan bunyi ketukan pintu hadapan dan belakang rumahnya sebanyak 10 kali.

“Ketika berbaring, saya terdengar macam orang ketuk pintu, mula-mula ingat macam angin tetapi tidak ada pula ribut. Bila dah lama diketuk saya rasa pelik.

“Kemudian ‘dia’ diam sekejap namun selang beberapa saat pintu belakang rumah pula diketuk dengan kuat hingga membuatkan isteri saya yang sedang tidur terjaga kerana terkejut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, dia tidak sangka akan alami kejadian yang sama melanda penduduk di beberapa tempat di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Menurut Mohd. Syafiq, dia kemudian terus menghubungi pengawal keselamatan untuk membuat rondaan, namun tiada kelibat manusia atau orang tidak dikenali ditemui di dalam kawasan taman itu.

“Pemeriksaan pada rakaman televisyen litar tertutup juga tidak menunjukkan kelibat manusia atau haiwan berkeliaran pada waktu itu,” katanya.

Ujar Mohd. Syafiq, dia telah bertanyakan mengenai hal itu di dalam kumpulan WhatsApp penduduk taman dan beberapa jiran memaklumkan mereka ada terdengar ketukan pintu tersebut.

“Saya ingatkan saya seorang yang dengar tetapi jiran lain juga ada mendengarnya termasuk yang berketurunan Cina dan India,” katanya.

Mohd. Syafiq kemudian telah membuat satu laporan di Balai Polis Nusa Bestari di sini pada pukul 7.30 pagi.

“Isteri saya demam pula hari ini (semalam) kerana terkejut, dia mungkin ketakutan, memang kuatlah bunyi ketukan pintu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Muhktar mengesahkan ada menerima laporan tersebut.

Katanya, polis akan meningkatkan rondaan di kawasan sekitar bagi memastikan kawasan perumahan di situ dan sekeli­lingnya selamat.

[VIDEO] Misteri Nusantara Btol… Brader Ini Diganggu Ketukan Pintu Siap Buat Live Untuk Buktikan Ini Memang Real

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker