Bekas Penyampai Radio Hilang Pendengaran

Bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM, Subi, 55, mengalami masalah hilang pendengaran sejak 2017.

Anak sulungnya, Nur Adibah, 23, berkata, pendengaran bapanya mula hilang sedikit demi sedikit dan sekarang ia semakin kronik.

“Telinga kanannya sudah tak boleh mendengar, manakala pendengaran telinga kiri hanya 30 peratus. Tidak pasti apa puncanya dan doktor pun tidak dapat pastikan bagaimana ia terjadi.

“Ayah sendiri perasan benda ini dan beritahu kami. Selepas itu kami mula bawa dia berjumpa doktor. Apabila sudah begini (tak mendengar), dia hilang keseimbangan badan,” katanya kepada Harian Metro.



Adibah berkata, selepas tamat kontrak bersama Suria FM pada akhir 2017, bapanya mengendalikan radio Internet dan sistem karaoke sendiri.

“Ogos lalu ayah kemalangan pula. Dia curi pandu kereta sedangkan kami melarang. Tidak pasti bagaimana dia boleh lepas keluar. Keretanya terbabas sendiri ketika dalam perjalanan dari Cyberjaya untuk pulang ke rumah di Dengkil. Bagaimana ia berlaku pun kami tak tahu. Dia pun tak ingat apa-apa bila ditanya,” katanya.

Sebelum itu, Subi pernah jatuh di rumah akibat hilang imbangan dan kepalanya terhantuk di bucu meja.

“Mungkin kesannya kuat hingga berlaku pendarahan dalam kepala. Sejak itu dia makin lama makin pelupa dan keseimbangan badan makin kurang. Dalam kemalangan ini keretanya teruk dan berlaku lagi pendarahan dalam kepala. Namun, doktor masih belum dapat buat kesimpulan sama ada pendarahan terjadi sebelum atau semasa kemalangan. Disebabkan pendarahan itu ayah langsung tak boleh berjalan dan bukan seorang yang normal lagi,” katanya.



Menurut Adibah, doktor ada menyebut penyakit bapanya mungkin berkaitan vertigo. Perlakuan bapanya kini semakin tenang dan kurang agresif.

“Selepas kemalangan kami kena uruskan semua dari segi berjalan dan tidur. Dia tak duduk diam, tak nak tidur dan ganggu kami. Namun sejak September dia mudah diuruskan dan buat semua benda sendiri.

“Kami akan bawa ayah berjumpa doktor setiap dua minggu atau sebulan sekali di Hospital Serdang. Emak, seorang pesara polis kini menjaga ayah di rumah kerana saya bekerja. Kos perubatan di hospital kerajaan percuma kerana status emak sebagai pesara penjawat awam. Cuma untuk suplemen kami keluarkan kos sendiri,” katanya.

Adibah berkata, kos untuk suplemen agak tinggi namun mereka terpaksa mengambilnya bagi memastikan bapanya pulih.



“Alhamdulillah dengan suplemen nampak perubahan pada ayah. Setakat ini belum ada mana-mana pihak dalam industri datang melawat dan menghulurkan sumbangan. Tapi rakan-rakan dari Astro dan Suria FM ada datang melawat ayah. Dia pun tak bersuara luahkan perasaan rindu pada kawan-kawan.Saya ada juga tanya dia sama ada ingat rakan-rakan. Ada yang dia ingat dan ada tidak. Permintaan untuk jumpa kawan-kawan juga tak diluahkan,” katanya.

Adibah berkata, jauh di sudut hati bapanya, dia pasti merindui rakan-rakan lama.

“Cuma dia tak pandai luahkan. Apabila ditanya perasaannya, dia jawab okay. Komunikasi dengan ayah masih okay kerana dia masih boleh dengar. Tapi kami kena bercakap sepatah-sepatah untuk dia faham,” katanya.

Subi atau nama sebenarnya Subarma Mohtaruddin berkahwin dengan Aishah Saironi, 57, dan mempunyai dua anak iaitu Nur Adibah dan Muhammad Yusof, 18.



Suami isteri pekak, bisu cekal cari rezeki

https://mykmu.net/2018/01/30/4-wajah-baharu-penyampai-berita-dan-program-channel-w-sedia-teroka-cabaran-dunia-penyiaran/



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker