Dalam gabungan besar Bersatu perlu jujur sebagai ‘Abang Besar’

Bersatu sebagai “abang besar” dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu fokus dalam membantu memperkasakan parti-parti dalam gabungan itu, kata Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo berkata, apa yang penting dilakukan Bersatu adalah memperkukuhkan kerjasama parti-parti dalam kerajaan bagi menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bersatu sebagai abang besar dalam kerajaan perlu fokus membantu memperkasakan BN, PAS dan GPS bagi berhadapan pakatan pembangkang pada PRU15 akan datang.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dengan segera untuk membawa kesemua kepimpinan parti yang ada dalam kerajaan dalam semua perkara dasar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin hari ini yang mencadangkan satu “piagam persefahaman politik” untuk membentuk gabungan besar merangkumi PN, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi PRU15.

Menurut Papagomo, saranan Hamzah itu tidak perlu diulang memandangkan gabungan itu telah sedia wujud dan kerajaan yang ada hari ini juga ditubuhkan dengan kesepakatan pemimpin parti.

“Rakyat boleh menerima kerajaan hari ini yang dibentuk bukan melalui mandat rakyat, maka wajarlah kepimpinan kerajaan terutama dari parti Bersatu tidak melakukan pecah dan perintah kepada parti-parti yang ada dalam kerajaan.

“Bersatu perlu jujur dalam gagasan besar ini bagi kita sesama parti membina kepercayaan antara satu sama lain dalam memikul amanah rakyat,” tambahnya.

Untuk rekod PN merupakan ikatan longgar diterajui Bersatu yang mentadbir kerajaan persekutuan bersama-sama Umno-BN, PAS dan dengan sokongan GPS.

Bagaimanapun, hubungan dalam gabungan itu dilihat rumit – terutama antara Umno dan Bersatu – dengan yang terbaru menyaksikan penyingkiran Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Terdahulu Hamzah berkata, pemeteraian piagam antara PN, BN dan GPS itu akan memastikan kelangsungan kerjasama antara ketiga-tiga pihak dan dapat meningkatkan keyakinan rakyat.

“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker