Hilang Pendapatan Kerana PKP, Pemandu Bas Sekolah Gayathiri Gadai Hampir Semua Peralatan Rumah

Masih segar dalam ingatan pemandu bas sekolah Gayathiri Chellam, membawa anak-anak dari Batu Uban ke bandar, kira-kira lapan tahun lalu.

“Perjalanannya” bermula dengan menghantar empat orang anaknya yang belajar di sebuah sekolah convent di bandar.

Mendiang abangnya kemudian membantu mendapatkan sebuah MPV kecil dan, pada 2014, wanita itu menjadi pemandu bas sekolah yang berkelayakan dengan membeli sebuah van kuning. Ibu berusia 40 tahun itu merasakan sudah mencapai kejayaan dengan bas sekolah barunya itu.



Ketika itu, dengan kira-kira 30 pelajar boleh dibawa untuk dua perjalanan, pendapatan diraih mampu menampung keluarganya dan membayar sewa rumah pangsa berkeluasan 600 kaki persegi dengan pendapatan sekitar RM4,000 sebulan.

Namun, situasi itu berubah sekelip mata apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lalu, menyebabkan ramai kanak-kanak tidak lagi ke sekolah, lantas menyebabkan Gayathiri hilang punca pendapatan.

Berikutan terdesak, Gayathiri berjumpa pemberi pinjaman wang tetapi tidak mampu membayar semula pinjaman itu tepat pada masanya. Mereka membalas dengan merosakkan vannya, yang memerlukan sekitar RM6,000 untuk dibaiki. Jumlah itu juga dipinjam dengan keluarga dan rakan-rakannya.

Salah satu bilik di rumah pangsa Gayathiri Chellam.

Beberapa minggu kemudian, van itu diambil semula dan dilelong oleh bank selepas dia mempunyai tunggakan bayaran selama lebih enam bulan.



“Pergelutan” dengan pemberi pinjam wang turut memaksa Gayathiri “membiayai semula” rumahnya dan “memindahkan” nama pemilik rumah kepada penyewa.

“Saya pernah beritahu ibu bapa pelajar miskin yang naik bas saya untuk bayar bila mereka mampu. Saya pernah bawa orang tua ke hospital selepas tengok mereka menunggu di hentian bas. Tapi saya tak harapkan apa-apa balasan,” katanya kepada FMT.

Rumah pangsanya di Taman Utara, Batu Uban itu hampir kosong, kecuali altar sembahyang dan sebuah meja makan kecil di dapur. Bilik tidur pula tidak ada kipas dan keluarga itu tidur di atas selimut di lantai.

Gayathiri berkata, untuk menyelesaikan sebahagian hutangnya yang berjumlah hampir RM100,000 itu, dia terpaksa menjual segala barangan di rumah untuk mendapatkan wang, juga untuk memberi makan kepada empat anaknya dan suami yang tidak bekerja. Peti sejuk, pendingin hawa dan kipas siling sudah dijual untuk mengumpul wang. Malah, telefon bimbitnya digadai pada harga RM150.



Gayathri Chellam bersama gambar abangnya, Kayamboo, seorang anggota TUDM yang terbunuh dalam nahas kapal terbang di Butterworth pada 2016.

Anak perempuannya yang berusia 18 tahun, Dhivyasni terpaksa berhenti sekolah di tingkatan enam kerana buku yang mahal dan kelas dalam talian dilihat mustahil. Tiga yang lain, berusia 11, 13, dan 14, tinggal bersama rakan supaya tidak terlepas kelas dalam talian. Katanya, mereka tidak mahu pulang ke rumah, dengan alasan yang jelas itu.

Gayathiri juga berkata, suaminya yang berusia 40 tahun menghidap sakit mental.

Beliau berkata, bapanya yang berusia 75 tahun sering melawat dari semasa ke semasa untuk membawa makanan, dan ketiga-tiga menu harian mereka biasanya berupa mi segera dan roti. Pada hari baik, katanya, dia berpeluang menyediakan bihun goreng.

“Ayah saya dapat duit pencen dalam RM1,500 selepas kami kehilangan abang yang terlibat kemalangan kapal terbang pada 2016. Saya kasihan padanya, datang ke sini untuk tolong kami, padahal dia juga kena tanggung mak saya di rumah,” katanya.



Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy, yang mendengar penderitaan Gayathiri, tampil membantu dengan meletakkan peringatan di rumah pangsanya supaya ia tidak dijual dan sudah berhubung dengan seorang peguam untuknya. ADUN Batu Uban, A Kumaresan dan Persatuan Hindu Pulau Pinang juga memberi sumbangan barang keperluan bulan lalu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di WhatsApp FMT Helpline @ 019 3899839.-FMT

Pengusaha bas sekolah bimbang terpaksa tamat operasi akibat Covid-19



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker