Cubaan kreatif Pemuda untuk cari ‘DUIT KAHWIN”

Serdang: Jual keropok lekor sejuk beku semata-mata untuk mengumpul wang belanja kahwin.

Demikian kesungguhan Tawfiq Azmi, 26, dalam mencari rezeki dan kisahnya mula tular selepas gambarnya dimuat naik seorang pengguna Twitter pada Ahad lalu

Gambar yang tular itu menunjukkan Tawfiq menunggang motosikal sambil menggalas beg yang digantung kotak dengan tertera harga keropok lekor bersama perkataan ‘Nak Cari Duit Kahwin’.



Rata-rata warganet memuji kesungguhan Tawfiq dalam mencari rezeki dan mendoakan urusan pemuda itu dipermudahkan.

Bercerita lanjut, Tawfiq berkata, dia mempunyai pekerjaan tetap namun menjual keropok lekor sejuk beku itu sejak awal bulan lalu bagi menambah pendapatan sambil mengumpul wang untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya bekerja sebagai ‘office boy’ (budak pejabat) saja dan gaji pula tidak besar, jadi saya cuba lakukan kerja sambilan dengan menjual keropok lekor yang diambil bekalannya daripada seorang rakan.

“Memang benar saya mahu berkahwin tetapi bukan dalam tempoh terdekat.



“Emak sudah ada calon tetapi saya mahu cari sendiri pasangan dan jualan keropok lekor itu adalah strategi serta persediaan awal dilakukan bagi mengumpul wang sebelum berkahwin,” katanya ketika ditemui di Kafetaria Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini.

Resepi keropok lekor terlaris di pasaran, guna 5 bahan saja

Pemuda berasal dari Klang, Selangor itu berkata, dia menerima pesanan dan penghantaran dibuat di empat kawasan iaitu Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Desa Pinggiran Putra, Kajang.



Katanya, penghantaran kepada pelanggan hanya dilakukan selepas waktu pejabat bermula 5.30 petang hingga 7 malam sebelum meneruskannya pada 9 malam hingga 11 malam.

“Penghantaran pada hujung minggu bermula 10 pagi hingga 6 petang.

“Sejak kisah saya tular, sambutan diterima adalah di luar jangkaan kerana dalam masa dua hari, saya meraih keuntungan lebih RM1,000 berbanding RM90 saja untuk seminggu sebelum ini.

“Sehingga tengah malam, masih ada yang menghantar kiriman WhatsApp dan menghubungi saya untuk membuat pesanan.



“Ada yang membeli tetapi tidak mengambil keropok lekor itu sebaliknya minta saya sedekahkan kepada yang memerlukan ” katanya.

Menurut Tawfiq, dia berterima kasih kepada semua yang menyokongnya.

“Terima kasih kepada yang membeli keropok lekor jualan saya dari awal berniaga hingga kini.

“Saya harap sokongan itu berterusan dan merancang membekalkan keropok lekor itu kepada peniaga di kedai dan restoran pula selepas ini,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker